KUPANG - 'Nurul Shahira.. kami tahu kamu tak boleh berjalan dan bergerak' - kata Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Cikgu Zurina Zakarya.

Cikgu Zurina dan lapan calon SPM tahun lalu telah kerumah Nurul Shahira Chek Bee, 18, yang telah disahkan mengidap kanser tulang sejak tahun lalu di sini.

Menurut Cikgu Zurina, mereka terpaksa menghantar keputusan SPM yang telah diumumkan minggu lalu ke rumah Nurul Shahira kerana dia tidak boleh berjalan.

"Ibu Nurul Shahira turut tak dapat mengambilnya di sekolah kerana tiada siapa yang boleh membawa ke sekolah memandangkan keadaan Nurul Shahira agak sukar untuk diangkat masuk kereta.

"Tempoh hari Nurul Shahira telah menjalani pembedahan buang tulang dari bahagian bawah peha hingga ke tempurung dan sekarang dibaluti simen," ujarnya.

Katanya lagi, Nurul Shahira akan menjalani tiga kali kemoterapi dan selepas itu barulah pembedahan untuk masukkan besi sebagai ganti tulang dijalankan.

"Tambah lagi, Nurul Shahira sedikit kecewa kerana keputusan Bahasa Melayu yang tidak mencapai targetnya. Namun kehadiran kawan-kawan ini sedikit-sebanyak dapat memberi semangat kepadanya," katanya.

Nurul Shahira disahkan mengidap kanser tulang selepas dia terjatuh ketika menghadiri kelas tambahan anjuran MARA di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling Ogos tahun lalu.

Ibunya, Siti Sarah Yahaya yang tidak bekerja itu juga turut maklum yang mereka tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak setakat hari ini.

"Tapi saya bersyukur sekolah Nurul Shahira, SMK Jerai juga ada menghulur bantuan.. saya gunakan sepenuhnya untuk ulang alik hospital dan perubatan Nurul Shahira.

"Perbelanjaan harian saya hanya bergantung daripada dua abang Nurul Shahira yang sudah bekerja sebagai pembantu kedai makan dan pemandu lori.

Dua abang Nurul Shahira iaitu Muammar Shahrul Dinie Chek Bee, 24, dan Muammar Khairul Shafiq Chek Bee, 20.

Jelas Siti Sarah lagi, dia juga menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah iaitu Nurul Fazliana Chek Bee (14), Muammar Qairel Adam Chek Bee, (10), serta  seorang bayi, Muammar Haikal Hakimi Mat Sapri (5 bulan).

"Ayah tiri Nurul Shahira juga telah pergi meninggalkan kami tanpa sebarang berita sejak setahun yang lalu," ujarnya.

Sesiapa yang ingin memberi sumbangan boleh disampaikan kepada Siti Sarah Yahaya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0200541000143295 atau boleh juga hubungi Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Jerai, Cikgu Zurina Zakarya di talian 019-4267798 untuk sebarang pertanyaan.

 

Ini dia artikel tentang Nurul Shahira awal tahun lalu https://www.gpsbestari.com/berita/disahkan-kanser-tulang-selepas-terjatuh-ketika-kelas-tambahan-perlu-rm37-000-kos-pembedahan-1.917944