KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terus berdiam diri, mengenai cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata sehingga kini tiada perkembangan mengenai isu tersebut, walaupun persetujuan untuk memansuhkannya telah diumumkan bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 2016.

"NUTP sudah beberapa kali cuba mendapatkan maklum balas dari semasa ke semasa tetapi tiada jawapan daripada KPM. Kami memohon UPSR dimansuhkan kerana tidak melihat keperluan UPSR tetapi murid terpaksa menanggung beban untuk​​​​​ lulus cemerlang dalam peperiksaan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Tambahnya, pemansuhan peperiksaan UPSR juga dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kepada murid di negara ini, selain mengubah persepsi sesetengah masyarakat yang menjadikan ‘A’ sebagai kayu pengukur kualiti seseorang murid.

Katanya pemansuhan UPSR tidak bermakna murid tidak akan dinilai sama sekali, terutama berhubung kemasukan ke sekolah Berasrama Penuh (SBP).

"Murid akan tetap dinilai dan ia akan dilakukan berasaskan pentaksiran sekolah masing-masing dan bukannya berorentasikan peperiksaan berpusat semata-mata," katanya.

Tan berkata NUTP juga bersedia bekerjasama dengan KPM dalam menambah baik pentaksiran berasaskan sekolah agar mempunyai instrumen yang dapat membantu guru-guru ke arah kecemerlangan murid.

"Cuma kami mohon agar NUTP dilibatkan bersama pihak KPM semasa perbincangan bagi memuktamadkan cadangan memansuhkan UPSR ini," katanya. - Bernama

Baca juga:

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

12 muka surat nota ringkas Matematik UPSR Cikgu Nana

Warga SK Taman Sri Pulai gempar, bilik suis terbakar dan murid masih berada di makmal bersebelahan

'Bagaimanalah kami tak jatuh sayang pada kamu Syazwan' - Coretan sayu ustazah ini buat ramai sebak

Hentikan semua aktiviti luar kelas jika IPU lebih 100 - Ini kenyataan JAS