KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon supaya Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan segera peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selari dengan usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, pihaknya berpendapat peperiksaan itu bukan lagi keperluan sekiranya murid terpaksa menanggung beban untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Artikel berkaitan: NUTP mohon KPM jelas isu pemansuhan UPSR

Menurutnya, pemansuhan UPSR itu juga dilihat dapat mengurangkan tekanan dan beban murid, selain dapat mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan keputusan A itu adalah kayu ukur kualiti seseorang murid.

“Pihak NUTP pernah menyatakan persetujuan dan menyokong cadangan yang pernah diumumkan bekas Menteri Pendidikan pada 2016 lagi tetapi sehingga kini tiada maklum balas daripada pihak kementerian tersebut.

“Pemansuhan UPSR tidak bermakna murid tidak akan dinilai sama sekali terutama berhubung kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebaliknya mereka tetap akan dinilai seperti ujian berasaskan pentaksiran oleh sekolah masing-masing dan bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, NUTP juga sedia bersama-sama KPM untuk membantu bagaimana UPSR dimansuhkan selain membuat penambahbaikan terhadap pentaksiran berasaskan sekolah supaya ada instrumen yang dapat membantu ke arah kecemerlangan murid.

UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Dianggarkan kira-kira 30 juta pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut dan mereka yang mengambil ujian itu pada 1987 kini telah berusia 44 tahun.

Info

1. Dahulunya dikenali sebagai Ujian Penilaian Sekolah Rendah

2. Diperkenalkan pada tahun 1988 bagi menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

3. Subjek utama: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

4. Peperiksaan besar akhir sebelum pelajar sekolah rendah memasuki sekolah menengah.

5. Khusus untuk pelajar Tahun Enam sahaja.

6. Menjadi instrumen pemilihan pelajar untuk ke sekolah berasrama penuh (SBP).

7. Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif.

8. Kementerian Pendidikan pada 2010 pernah bercadang memansuhkan UPSR.

9. Pada 2017, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata UPSR akan diteruskan sehingga masa sesuai dan digantikan dengan sistem lain.

Baca:

Enam kelebihan mengajar pelajar kelas belakang - Cikgu Hailmi kongsi rahsia

Saranan perkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat akan dipertimbang

Cikgu Iznan kongsi 21 kaedah belajar untuk bantu pelajar cipta kejayaan - memang terbaiklah

Mayat pelajar Tingkatan Empat SMK Labuan dijumpai di jeti perikanan lama

Kaedah 'study smart' untuk pelajar ulang kaji pelajaran - Calon UPSR juga boleh ikut panduan ini