JERANTUT - PELAJAR Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Ulu Cheka (Darul Ehyail Maarif) di sini berdepan detik cemas apabila bilik asrama pelajar lelaki, kelas dan dewan sekolah terbakar pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, kejadian bermula dari asrama pelajar lelaki terbabit sebelum merebak bangunan bersambung melibatkan dua buah kelas dan dewan sekolah.

Bagaimanapun, kesemua pela­jar lelaki dan perempuan serta 15 guru yang ketika itu sedang mengikut sesi pembelajaran di dalam kelas tidak mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa.

Pengetuanya, Abdul Ghani Abdul Kadir berkata, kejadian disedari guru bertugas yang terlihat percikan api dari bangunan asrama terbabit sebelum kesemua pelajar kemudiannya diarahkan untuk mengosongkan kelas dan berada di tempat selamat.

“Ini kejadian kali pertama yang berlaku di sekolah ini yang mula ditubuhkan pada 1955.

“Saya bersyukur kerana semua pelajar terselamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya juga sempat memindahkan beberapa peralatan seperti kerusi dan meja serta al-Quran.

Katanya, jumlah kerugian akibat kejadian itu masih belum diketahui.

Sekolah berkenaan menempatkan 61 pelajar iaitu 37 lelaki dan selebihnya perempuan berusia 13 hingga 17 tahun dengan 15 tenaga pengajar.

Orang ramai yang sudi meringankan beban pihak sekolah boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB (7035632686) atas nama Maahad Darul Ehyail Maarif.    

Asrama yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kejadian tersebut.

Pengajar dan pelajar menyelamatkan peralatan sekolah dalam kebakaran.

Artikel lain: 

Terima panggilan daripada PTPTN. Guru terkejut menang hadiah bernilai RM151,515.15    

KPM tiada kaitan dengan UPSR, PT3 dalam talian

Rezeki murid-murid SK Madai, dapat sebuah pondok bas sumbangan USIM