TEMERLOH - Seorang pesara maut apabila kereta yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 102.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, Abdul Jamal Yusoh, 64, dari Taman Jayadiri, Chenor meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak mangsa, Nurul Shahida Abdul Jamal, 14, cedera di bahagian kepala dan kaki manakala dua lagi anaknya iaitu pemandu kereta serta penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Viva dinaiki mangsa sekeluarga dan sebuah kereta jenis Honda City.

Menurutnya, Kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai memandu laju di lorong kiri.

“Kereta itu melanggar Perodua Viva dinaiki empat sekeluarga yang dipandu perlahan di lorong kiri kerana ada kemalangan lain di lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, saksi kejadian sedang dikesan untuk membantu siasatan selain ujian air kencing akan dijalankan terhadap pemandu kereta Honda City berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel lain:

'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran'

Calon SPM derita kanser ovari rindu kembali ke sekolah

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi