KUANTAN - Gara-gara terpedaya dengan ugutan 'Inspektor Narita', seorang guru wanita di sebuah sekolah di sini kerugian RM113,000 selepas wang pinjaman dan simpanan dalam dua akaun bank miliknya lesap.

Lebih tragis, mangsa yang berusia 51 sanggup membuat pinjaman bank berjumlah RM80,000 kerana digertak akan ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas rakannya yang bekerja di sebuah bank di sini membuat semakan dan mendapati semua wang dalam akaunnya sudah dipindahkan oleh pihak lain.

MOHD WAZIR

Menurutnya, episod malang yang menimpa mangsa itu bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank di Seri Kembangan, Selangor memaklumkan tentang tunggakan bayaran pinjamannya.

“Seperti biasa, selepas mangsa menafikan tentang pinjaman itu, suspek menyambung panggilan ke seorang ‘pegawai polis’ berpangkat sarjan untuk memberikan keterangan sebelum dia digertak kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram RM1.5 juta.

“Bagi memperdaya mangsa, kes itu dirujuk kepada pegawai berpangkat inspektor dan pegawai tersebut bersedia untuk membantu menyelesaikan kes tersebut bagi mengelak dua akaun banknya dibekukan Bank Negara,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa dinasihatkan supaya menukar nombor telefon yang didaftarkan dalam maklumat bank kepada nombor yang diberikan suspek dan dia mengikut seperti diarahkan tanpa menyedari helah licik sindiket penipuan terbabit.

“Setelah mangsa melakukan proses tersebut, dia dilarang membuat sebarang transaksi selama seminggu dan pada 21 Mac lalu, dia diarahkan membayar wang jaminan RM80,000 bagi mengelak ditahan polis.

“Bagi tujuan itu, dia diarahkan supaya membuat pinjaman bank RM80,000 dan permohonannya diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang pinjaman itu ke akaun banknya yang lain dan dia memindahkan RM50,000.

“Bagaimanapun mangsa mula curiga dengan proses tersebut lalu menghubung rakannya yang bertugas di sebuah bank di sini untuk semakan dan mendapati wang dalam dua akaunnya itu sudah dipindahkan ke akaun lain.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari dia ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, susulan laporan diterima, pihaknya membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.