KUANTAN - Graduan Diploma Kejuruteraan terutama yang pernah menyertai pasukan Askar Wataniah, digesa mempertimbang kerjaya dalam bidang ketenteraan secara sepenuh masa untuk memperoleh gaji yang baik.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohammad Naim Yaakub berkata, mereka juga digalakkan untuk menyertai tentera kerana telah dilatih menerusi kokurikulum pasukan sukarelawan berkenaan.

"Tawaran gaji pokok yang diberikan ialah RM2,060 iaitu satu tangga gaji yang cukup tinggi berbanding rata-rata lulusan diploma yang memperoleh RM1,500 hingga RM1,700 sebulan bagi semua sektor yang diceburi.

"Malah, saya juga maklum anggota yang memiliki diploma kejuruteraan yang bertugas dalam bidang kritikal dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibayar lebih tinggi iaitu RM2,340 sebulan," katanya dalam ucapan perasmian Malaysia Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) ke-14, di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Mohamad Noor Shahudin. - Bernama