Walaupun hanya memenangi pingat gangsa untuk dua inovasi pada Pameran Teknologi, Inovasi, Rekaan Harta Intelek Antarabangsa (IPITEx 2020) namun pencapaian itu amat membanggakan seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Panching, Kuantan, Pahang kerana berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Pertandingan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, Bangkok, Thailand itu menyaksikan persaingan sengit pasukan negara dengan China, Thailand dan Indonesia.

Cikgu Mohd Faisal (tengah) bersama pasukan SMK Seri Panching memakai penutup hidung ketika tiba di IPITEx 2020.

Guru Pembimbing Kelab Inovasi, Mohd Faisal Ab Salam, berkata, mereka mempertaruhkan dua inovasi pada pertandingan itu, iaitu i-Doa dan EzUmbrella.

"i-Doa merupakan satu peranti yang menyasarkan kepada golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah menggunakan konsep pengulangan.

"Apabila sesuatu audio dimainkan secara berulang-ulang,  ia akan cepat melekat dalam minda kanak-kanak, kami melakukan 'literature review' dan juga eksperimen kepada beberapa orang kanak-kanak.

"Konsep pengulangan ini membolehkan peranti itu digunakan untuk membantu dalam menghafal doa lazim seharian kanak-kanak," katanya.

Menurut beliau, i-Doa mempunyai penggera yang boleh mengesan pergerakan.  

"Kami tentukan jarak yang sesuai bagi mengelak daripada mengesan haiwan,  apabila kanak-kanak melalui penggera ini doa akan dimainkan," jelas beliau,

Cikgu Wahiri bersama pasukan SMK Seri Panching meraikan kejayaan setelah berjaya mendapat pingat gangsa untuk dua inovasi pada IPITEx 2020.

Sekiranya peranti i-Doa diletakkan di atas pintu bilik air, apabila kanak -kanak hendak masuk,  doa masuk tandas akan berbunyi.

Apabila proses itu berulang dan menjadi kebiasaan,  kanak kanak ini akan cepat ingat dan menghafalnya.

Cikgu Mohd Faisal berkata, kelebihan i-Doa adalah doanya boleh ditukar mengikut kesesuaian kawasan.  

"Bagi prototaip yang kami bangunkan,  ada lapan doa antaranya doa depan cermin; doa masuk dan keluar tandas serta doa masuk masjid," katanya.

Dibimbing UTHM

Beliau yang juga guru bahasa Inggeris berkata, Kelab Inovasi SMK Seri Panching atau nama keramatnya SPAce itu membangunkan i-Doa dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui bimbingan Penyelidik Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Eelektronik, Dr Helmy Abdul Wahab.

"Dr Helmy banyak membantu dari segi konsep dan pembangunan, kami juga bekerjasama dengan komuniti luar yang mahir dalam menggunakan pengaturcaraan Arduino," katanya.

Jelas beliau lagi, sebenarnya i-Doa bermula dengan idea yang mereka bentangkan dalam pertandingan iFINOG di Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada tahun lalu.

Tanpa sangka walaupun tanpa prototaip, idea bernas itu memperoleh pingat gangsa dalam pertandingan berkenaan.

Cikgu Wahiri (kanan) dan pelajar SMK Seri Panching bersama Jalur Gemilang dan bendera sekolah setelah berjaya mendapat pingat gangsa pada IPITEx 2020.

"Kami sekali lagi mempertaruhkan i-Doa pada Intelligent, satu pertandingan anjuran UTHM dan UMP yang diadakan di Dungun.

"Kali ini kami menggunakan alas untuk dipijak sebelum audio doa keluar, pun dapat pingat gangsa juga," katanya.

Bagaimanapun, Dr Helmy nampak potensi i-Doa dan menyarankan kami mencuba nasib di IPITEx 2020.

Melalui MINDS, iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan dan memilih wakil dari Malaysia untuk bertanding ke peringkat tertinggi, Kelab Inovasi SMK Seri Panching membawa nama negara ke peringkat dunia. 

EzUmbrella

EzUmbrella pula ialah satu alat bantu kepada golongan sasar iaitu orang tua dalam memudahkan aktiviti luaran mereka.

Cikgu Mohd Faisal berkata, idea untuk mencipta EzUmbrella tercetus apabila menyelami keadaan warga emas yang perlu membawa barang atau barangan dibeli di pasar dalam masa sama perlu memegang tongkat pada hari hujan.

"EzUmbrella ialah inovasi yang menggabungkan fungsi tongkat dan payung selain turut didatangkan dengan fungsi lain seperti bakul untuk letak barang,  LED Light bagi memastikan pengguna jalan raya cakna dan menyedari kehadiran pengguna EzUmbrella.

"Selain itu, EzUmbrella turut dilengkapi dengan plastik panjang bagi memastikan pengguna tidak basah dan juga pembesar suara bagi memudahkan mereka berkomunikasi menggunakan 'loud speaker'," katanya.

Cikgu Mohd Faisal (empat dari kiri) dan pelajar di reruai pameran IPITEx 2020.

Tambah beliau lagi, dalam membangunkan EzUmbrella mereka juga bekerjasama dengan UTHM melalui bimbingan Dr Helmy, Pensayarah Pusat Pengajian Diploma, Ts Dr Tengku Nadzlin Tengku Ibrahim, Ts Dr Muhammad Shukri Ahmad berkenaan model kerja penuh percetakan 3D.

Selain itu, mereka turut mengadakan kerjasama dengan UMP dengan penglibatan Pensyarah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Dr Idris Mat Sahat dalam membimbing percetakan 3D skala kecil dan Wan Muhammad Noor Sarbani Mat Daud (lukisan 3D).

Beliau berkata, penyertaan pelajar dalam pertandingan ini memberi ilmu yang sangat berguna.

"Pelajar berpeluang menonjolkan bakat dan kemahiran dalam pembikinan sesebuah inovasi, tambahan pula pengalaman pelajar bekerjasama dengan golongan profesional di peringkat antarabangsa akan membuka minda serta keyakinan pelajar SMK Seri Panching," katanya.

Pasukan yang bersaing di peringkat antarabangsa itu terdiri daripada lima pelajar dan tiga guru pengiring.

Ketika pertandingan pelajar perlu membuat pembentangan dan demonstrasi inovasi yang dipertandingkan.


Cikgu Mohd Faisal (tengah) meraikan kejayaan bersama pelajar sempena Thailand Investors' Day 2020.

Sementara itu, Pengetua, Maizinah Mohd Talib mengucapkan tahniah kepada Kelab Inovasi SMK Seri Panching atau SP Ace atas pencapaian tertinggi yang membanggakan pihak sekolah dan negara di persada antarabangsa.

"Komitmen dan usaha anda semua amat berbaloi. Satu pencapaian tertinggi dalam menyerlahkan lagi kemenjadian murid dalam Transformasi Sekolah 2025. Teruskan menjana idea, terus berinspirasi, teruskan merekacipta dan berinovasi.

"Insya-ALLAH, saya akan terus menyokong usaha anda semua. Terima kasih semua kerana berjaya melakarkan satu memori indah. Keep it up," katanya.

Reaksi

"Seronok dapat bersama dengan pelajar yang sangat berminat, bekerjasama dan bersemangat merealisasikan impian mereka menghasilkan produk yang dapat dipersembahkan ke mata dunia. Mereka tak berhenti berlatih untuk membuat pembentangan. Mengiringi mereka ke luar negara amat menarik kerana rata-rata mereka adalah pertama kali keluar negara. So ia adalah pengalaman yang amat menyeronokkan. Pelajar SPAce ialah pelajar yang terbaik. Go SPAce go!" - Wahiri Mohamed, Guru Reka Bentuk dan Teknologi



 "Seronok dapat melihat keyakinan pelajar SPAce dalam membentangkan produk di samping mengamalkan persaingan yang sihat dalam kalangan peserta. Pelajar seharusnya diberi peluang utk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa supaya dapat meningkatkan daya kreativiti, kemahiran sosial dan komunikasi." - Nor Adnin Zakaria, Guru Sejarah 

"Saya sangat teruja kerana terpilih menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa di Bangkok, Thailand. Peluang yang diberi ini kami hargai dengan cara memberi komitmen padu untuk meraih kejayaan." - Nur Ain Aqilah Shamsuddin, Pelajar Tingkatan Lima

"Saya amat gembira kerana diberi peluang bertanding di luar negara bersama ahli kumpulan lain yang banyak membantu dalam merealisasikan projek i-Doa. Selaku ketua kumpulan, saya amat bangga dengan pencapaian kami yang memenangi pingat gangsa di IPITEx, Bangkok dan berjanji akan berusaha lebih lagi bagi mengharumkan nama negara dan sekolah." - Nur Syamimi Mohd Asri, Tingkatan Lima

"Perasaan dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia tidak dapat diungkapkan dengan kata kata. Dapat mengibarkan Jalur Gemilang di IPITEx 2020 merupakan suatu kebanggaan. Membawa projek I-Doa ke IPITEx 2020 selama lima hari merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna." - Daniel Irfan Mukhriz Ridhuan Makirilin, Tingkatan Empat 

"Saya berasa amat bangga kerana dapat mengharumkan nama sekolah di peringkat antarabangsa. Pada awalnya saya tidak percaya saya akan mempersembahkan idea kami di mata dunia tetapi sekarang saya dan pasukan telahpun membawa pulang sebuah pingat yang sangat bernilai." - Khairul Haqimie Kamarulzaman, Tingkatan Tiga

Info

Senarai guru dan pelajar ke IPITEx 2020

1. Nur Ain Aqilah Shamsuddin (Tingkatan Lima)

2. Muhammad Khaeryl Iskandar Mohd Aluwi (Tingkatan Lima)

3. Nur Syamimi Mohd Asri (Tingkatan Lima)

4. Daniel Irfan Mukhriz Ridhuan Makirilin (Tingkatan Empat)

5. Khairul Haqimie Kamarulzaman (Tingkatan Tiga)

6. Mohd Faisal Ab Salam (Guru bahasa Inggeris/ICT)

7. Wahiri Mohamed (Guru Reka Bentuk dan Teknologi)

8. Nor Adnin Zakaria (Guru Sejarah)

Sijil pingat gangsa yang diperoleh untuk inovasi EzUmbrella.

Daniel Irfan Mukhriz (kanan) memberi penerangan mengenai i-Doa kepada juri (kiri) sambil diperhatikan Nur Syamimi (dua dari kiri) dan  Nur Ain Aqilah (dua dari kanan).

Juri melawat reruai SMK Seri Panching untuk membuat penilaian.

Muhammad Khaeryl Iskandar memberi penerangan mengenai EzUmbrella kepada juri.

Khairul Haqimie (tengah) memberi penerangan kepada juri mengenai inovasi EzUmbrella.

Muhammad Khaeryl Iskandar (kiri) membuat demonstrasi fungsi EzUmbrella kepada juri (kanan).

Cikgu Wahiri (tiga dari kiri) bersama Cikgu Mohd Faisal (tengah) dan pelajar meraikan kejayaan bersama piala untuk pelbagai inovasi pada IPITEx 2020.

Pasukan Kelab Inovasi SMK Seri Panching meraikan kejayaan di IPITEx 2020.

Reaksi pasukan SMK Seri Panching dan peserta lain menunggu keputusan.

Maizinah (tengah) meraikan kejayaan pasukan SMK Seri Panching yang berjaya mengharumkan nama negara pada pertandingan peringkat antarabangsa.

Maizinah menyampaikan cenderamata kepada Nur Syamimi sebagai tanda penghargaan kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pingat gangsa yang diperoleh pada IPITEx 2020.

Pasukan SMK Seri Panching bergambar sebaik tiba di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, Bangkok, Thailand.

Pasukan SMK Seri Panching ketika di Bangkok, Thailand.

 

 

Artikel Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi