KUANTAN - RADIO Televisyen Malaysia (RTM) bersedia meneruskan program televisyen pendidikan (TV Pendidikan) walaupun selepas sesi persekolahan dibuka semula, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diputuskan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana RTM hanya menyediakan platform menerusi siaran TV Okey selama dua jam setiap hari mulai 6 April lalu selepas sesi persekolahan terpaksa dihentikan susulan pandemik COVID-19.

“Walaupun sesi persekolahan dibuka, idea tentang TV Pendidikan itu akan tetap diteruskan kerana walaupun sekolah telah dibuka, yang saya faham keperluan siaran pendidikan itu masih wujud. Malah selama ini sebelum COVID-19, idea menubuhkan siaran itu sudah ada,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi tahun 2019 hingga 2020 di sini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan KPM sebelum ini bekerjasama dalam program TV Pendidikan bagi membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran selain pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 1 Julai lalu mengumumkan sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai bagi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

BERNAMA