JERANTUT - Seorang guru maut selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas lalu melanggar tiang elektrik di KM18 Jalan Jerantut-Benta di sini petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Nur Syairah Nadiah Samsudin, 27, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangsang, Benta meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan dalam kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, suami mangsa, Abdul Zameer Zaqwan, 27, yang berasal dari Kuala Terengganu pula cedera di kepala.

Menurutnya, ketika kejadian suami isteri terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dari arah Jerantut menghala ke Jalan Benta dalam keadaan hujan.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai terbabas ke kanan jalan ketika melalui selekoh lalu melanggar tiang elektrik.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga penumpang hadapan sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya dibawa ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan.

“Berhenti di tempat selamat jika hujan lebat bagi mengelakkan pokok tumbang dan rancang perjalanan dengan memastikan keadaan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel lain:

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

'Kepada rakan saya di KPM, jangan  gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

SPM makin hampir, guru ini kongsi tip penting apa calon perlu buat untuk skor A+ subjek Sains

Teknik belajar saat akhir yang patut pelajar tahu... tapi jangan amalkan selalu tau