Usaha Guru Besar Sekolah Kluster Kecemerlangan, SK Tasik Cini, Pekan Pahang, Muhamadiah Iskandar Mohamed membuat kunjungan mesra ke rumah murid di Kampung Melai dan Kampung Tanjong Puput Julai lalu membuahkan hasil, apabila sekolah itu mencapai sasaran melebihi 90 peratus kehadiran murid ke sekolah.

Kunjungan itu bukan sahaja untuk memberikan peringatan tentang pembukaan sekolah, bahkan bertujuan memperkenalkan guru besar baharu itu kepada masyarakat kampung.

Menurut guru besar sekolah itu, menerusi lawatan tersebut, beliau dapat merasai sendiri pengalaman sebenar anak murid ke sekolah.

Ia secara tidak langsung dapat menyelami susah payah, serta memahami latar belakang mereka dan juga memperkukuhkan konsep sekolah penyayang.

“Saya sangat teruja dan terharu dengan keprihatinan serta kesungguhan murid-murid SK Tasik Cini ini hadir ke sekolah.

“Biarpun terpaksa melalui perjalanan tanah merah sejauh 12km dan juga menaiki bot merentasi Tasik Chini untuk ke sekolah, namun kecekalan mereka untuk menimba ilmu itulah yang membuatkan saya sebak ,”katanya.

Muhamadiah berkata, rata-rata keluarga yang dikunjungi adalah berketurunan orang asli jakun, bekerja sebagai penoreh getah dan pekebun sayur.

Katanya, program yang disertai oleh tujuh orang guru SK Tasik Cini, Pekan Pahang ini turut mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung.