PEKAN - Tiga beranak maut termasuk dua kanak-kanak berusia dua tahun dan lapan tahun, selepas kenderaan mereka terlibat  dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 55, Jalan Nenasi-Rompin, dekat Kampung Badong, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran  Sidek berkata, kemalangan yang berlaku jam 9.45 pagi  membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dari arah Kuantan menghala ke Rompin dan lori membawa muatan ais kiub dari arah bertentangan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pihaknya  tidak menolak kemungkinan  MPV berkenaan terbabas sebelum melanggar lori berkenaan hingga  mengakibatkan MPV itu terjunam ke parit di bahagian  kiri bahu jalan.
“Kenderaan MPV itu dipandu Kamaruddin Mohd Zin, 33 tahun yang  berasal dari Kampung Betong,  Ajil, Terengganu.
Akibat kemalangan itu, tiga mangsa penumpang MPV tercampak dari kenderaan  tersebut dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah isteri kepada pemandu MPV terbabit,  Nor Hasidah Asbullah, 32 tahun dan dua anak mereka,  uhammad Iffat Rizqi berusia dua tahun dan Nur Auni Athirah, 8 tahun.

“Manakala seorang lagi anak mereka, Nur Syadni Syakirah, 3 tahun mengalami  kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuantan,” katanya ketika dihubungi.
Amran berkata, pemandu dan kelindan lori  ais kiub yang masing-masing berusia 32 tahun turut  mengalami kecederaan  dan kini dirawat di hospital sama.
“Siasatan dijalankan  mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan bedah siasat  terhadap semua mangsa  yang maut akan dijalankan di Hospital Rompin jam 4 petang ini bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul ketika dihubungi  memaklumkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira jam 10 pagi dan sebuah jentera bersama lima pegawai dan  anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pegawai dan anggota  JBPM Pahang berjaya  mengeluarkan pemandu MPV terbabit yang tersepit  dalam kenderaan itu kirakira  jam 11 pagi tadi dan semua mangsa dihantar ke Hospital Rompin bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.