KUANTAN - Seorang guru kerugian RM10,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan ketua polis sebuah daerah di Kedah.

Mangsa yang berusia 30 tahun sebelum itu menyerahkan maklumat banknya selepas diminta ‘pegawai kanan polis’ tersebutuntuk siasatan dan semakan Bank Negara berhubung kes ayahnya yang dikatakan mengelak membayar cukai perniagaan sehingga berlaku tunggakan lebih RM17,000.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas menerima dua pesanan ringkas yang memaklumkan berlaku transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun atas nama dua individu termasuk seorang wanita berjumlah RM10,000.

MOHD WAZIR

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa segera membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati terdapat dua transaksi wang dari akaunnya tanpa kebenaran.

Menurutnya, suspek berjaya melakukan satu transaksi manakala satu lagi sempat disekat pihak bank.

“Susulan daripada kejadian, mangsa membuat laporan polis semalam (kelmarin) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kronologi kes penipuan itu bermula Isnin lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Alor Setar memaklumkan syarikat atas nama bapanya tidak menjelaskan cukai perniagaan sebanyak RM17,600.

Katanya, pegawai terbabit menyarankan mangsa membuat laporan polis jika menafikannya sebelum panggilan disambung kepada seorang pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar bagi tujuan semakan.

“Seperti biasa suspek cuba menakutkan mangsa kononnya hasil semakan mendapati akaun bank atas nama syarikat milik bapanya dikaitkan dengan satu kes pengubahan wang haram.

“Panggilan kemudian disambung kepada individu yang menyamar sebagai ketua polis daerah berpangkat ‘Datuk’ untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diarahkan menyerahkan maklumat bank miliknya dan bapa serta nombor telefon digunakan bagi mengelak ditangkap.

“Suspek juga mengarahkan mangsa menghantar nombor TAC (kod pengesahan transaksi) yang diterima daripada pihak bank melalui pesanan ringkas kononnya bagi tujuan semakan Bank Negara.

“Selepas menyerahkan maklumat bank dan nombor TAC yang diterima kepada ‘pegawai kanan polis’ itu, mangsa menyedari ada pihak cuba memindahkan wang dalam akaunnya tanpa kebenaran,” katanya.

Baca:

Kemas sedia RM1.7 juta laksana program latihan dan kemahiran

Hari ketujuh: Cikgu Hailmi berpeluang nikmati makanan tradisi Swiss, Cheese Fondue (2 foto)

Hari keenam: Cikgu Hailmi terpegun dengan kecanggihan teknologi di CERN (5 foto)

Hari kelima: Cikgu Hailmi teroka ilmu baharu yang mengujakan (6 foto)

Pelajar OKU hilang beg duit, nasib baik kru feri buat kutipan siap hantar ke terminal lagi