15 pelajar dari 14 buah sekolah seluruh Malaysia kongsi bahan pembacaan Sejarah secara dalam talian, menerusi Program Resensi Buku ‘Di sini Lahirnya Sebuah Cinta,’ peringkat kebangsaan 13 Ogos lalu.  

Ketua Panitia Sejarah, juga penyelaras program, Cikgu Norafizah Abd Razak berkata, program anjuran Panitia Sejarah dan Pusat Sumber SK Kg Baharu Jerantut Pahang itu turut disertai 14 guru pembimbing, enam pelajar sekolah menengah dan sembilan murid sekolah rendah.

Turut serta, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar, Unit Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah, Dr Mohamed Ali Haniffa.

Norafizah berkata, program yang berlangsung menggunakan pelantar G Meet itu  telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua sekolah terlibat.

“Setiap pelajar diberikan masa selama enam minit seorang untuk mengulas buku Cerita Orang Pahang, dan juga buku-buku bertemakan perjuangan dan tokoh kemerdekaan pada sesi kedua.

“Ketika membuat pembentangan, semua pelajar perlu menghuraikan maklumat pembacaan dengan mengaitkan dengan elemen kewarganegaraan dan kemahiran pemikiran sejarah ( KPS),”katanya.

Mengulas lanjut, Norafizah memberitahu, Penerapan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik (EKNS) melalui mata pelajaran Sejarah adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang mempunyai keterikatan emosi kepada negara.

Katanya, pelaksanaannya adalah secara menyeluruh dan bersepadu, bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Melalui pembacaan dan perkongsian sejarah itu, penekanan kepada aspek amalan dan penghayatan dalam kalangan murid dapat dibentuk, seterusnya melahirkan bangsa Malaysia yang mengetahui hak, tanggungjawab serta peranannya sebagai warganegara,”jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Kg Baharu, Noorani A Malek berkata, program ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar  mempamerkan bakat dan berkongsi maklumat pembacaan bahan sejarah kepada orang lain.

“Ia sangat bersesuaian dengan usaha melahirkan pelajar abad ke-21 yang berilmu pengetahuan, berdaya saing, berani dan kritis,”katanya ketika merasmikan Progam Resensi Buku ‘Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.’

Semua panelis, guru dan AJK Pelaksana yang terlibat telah menerima sijil penghargaan daripada pihak penganjur.

Sekolah terlibat

SK Matang Gerdu Bagan Serai Perak

SK King George V, Seremban Negeri Sembilan

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Siputeh Perak

SK Kg Baharu Jerantut Pahang

SK Kg Baharu Jerantut Pahang

SK Padang Keria Perlis

SK Lubok Temiang Wilayah Persekutuan Labuan

SJK (Tamil) Gemas Negeri Sembilan

SK Kg Baru Kuala Abang Dungun Terengganu

SK Duyong, Duyong Melaka

SMK Sg Soi Kuantan Pahang

SMK Syed Abu Bakar Baling Kedah

SMK Sultanah Bahiyah,  Alor Setar Kedah

SMK Dato Harun,  Tg Karang Selangor

SMK Putrajaya Presint 9 (2) Putrajaya