PEKAN- Penderitaan dilalui pelarian etnik Rohingya yang kini terpaksa berlindung di kem pelarian di Bangladesh dalam keadaan serba kekurangan menyentuh hati warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di sini.

Lebih memilukan mereka apabila mendapat tahu nasib golongan itu terpaksa berteduh dalam khemah yang tidak sempurna, kelaparan, sakit yang melarat, ketiadaan air bersih dan sumber makanan mencukupi.

Atas dasar simpati dan keprihatinan itu, warga SMK Seri Pekan mengadakan Program Penghayatan Isu Penderitaan Etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh yang berlangsung di peringat sekolah itu, kelmarin.

SMK Seri Pekan menjadi sekolah pertama di daerah ini mengadakan program seumpama itu.

Pengetuanya, Mohd Azeli Puzi berkata, warga sekolah amat tersentuh dengan kehidupan dilalui anak yatim yang hilang kasih sayang, isteri kematian suami dan hilang tempat bergantungan serta penderitaan lain yang menyukarkan hidup mereka.

Katanya, pelarian itu terus dicengkam derita berpanjangan dan tiada kesudahan hingga terpaksa mengharapkan ihsan masyarakat dunia.

“Pada program ini, satu majlis ceramah dan tayangan bertajuk 'Tangisan dan Airmata Rohingya' diadakan di surau sekolah (Surau Al Shafie) dengan kehadiran guru dan 500 pelajar.

“Ceramah isu Rohingya ini disampaikan penceramah jemputan dan aktivis kemanusiaan berpengalaman dari NGO Haluan Pahang, Abd Bashir Abd Ghani yang juga ahli sekretariat program SINAR4ROHINGYA, Sinar Harian,” katanya.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi informasi terkini kepada pelajar mengenai nasib etnik Rohingya yang turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, program tersebut memberi motivasi dan pengajaran kepada pelajar betapa bersyukurnya kerana dikurniakan nikmat keamanan dan kasih sayang.

“Pada masa sama, menyedarkan pelajar beruntungnya mereka berada di negara yang aman dan sejahtera.

“Selain itu, kita turut mengumpul derma daripada semua warga sekolah dan alhamdulillah, kita berjaya mengumpulkan lebih RM1,300 untuk disalurkan ke Tabung SINAR4ROHINGYA,” katanya.

Menurutnya, ceramah yang disampaikan dengan iringan tayangan video mampu memberi kesedaran yang jelas kepada guru serta pelajar akan isu sebenar etnik Rohingya ini.

“Penderitaan dan kezaliman yang dihadapi etnik itu sangat sadis dan di luar batas kemanusiaan.

“Sebelum ini pelajar hanya mengetahui dari media dan akhbar sahaja tetapi setelah diberi penjelasan oleh penceramah, mereka lebih faham dan rasa simpati yang amat mendalam,” katanya.

Sementara itu, Abd Bashir berkata, program kebajikan SINAR4ROHINGNYA ini akan terus diadakan bagi mengumpul dana untuk membantu pelarian di sana.

Menurutnya, awal Disember ini pasukan daripada gabungan NGO terlibat dengan program SINAR4ROHINGYA akan ke Bangladesh bagi menyalurkan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia secara langsung kepada pelarian.

“Bentuk bantuan yang akan diberikan termasuklah pembinaan lebih banyak khemah, pembinaan telaga tiub untuk air bersih, agihan hygine kit dan selimut tebal sebagai persiapan musim sejuk dan pengagihan makanan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan pihak sekolah mengadakan majlis ini dan berharap pihak sekolah lain pun dapat mengadakan program seumpama ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu sebenar dan terkini etnik Rohingya ini,” katanya.