KUANTAN - Kerajaan akan melaksanakan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selama lima hari seminggu, berbanding tiga hari sahaja sekarang, pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata projek rintis itu akan melibatkan tujuh sekolah kebangsaan setiap negeri dengan tempoh pelaksanaan selama setahun.

Beliau berkata projek itu bukan hanya membantu meningkatkan pemahaman murid, namun dalam masa sama juga membantu guru KAFA mendapat kontrak jawatan tetap, jika kelas itu dapat dilaksanakan setiap hari persekolahan pada masa akan datang.

"Kebajikan guru KAFA perlu dilihat kerana jika kelas ini hanya tiga hari seminggu, mereka tidak boleh diberi kontrak jawatan tetap kerana dasar penjawat awam menetapkan tempoh bekerja selama lima hari seminggu.

"Jika kita dapat menyerap jawatan guru KAFA sebagai tetap, ia membolehkan guru KAFA dilihat sebagai satu kerjaya selain boleh diberikan gred," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan Kalendar 2020 di Pasar Tani Perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, semalam.

Fuziah berkata kebajikan guru KAFA menjadi keutamaan kerajaan dan sebagai permulaan, mereka mendapat kenaikan elaun sebanyak RM100 menjadikan jumlah baharu RM1,000 sebulan selain memperoleh perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun lepas.

Beliau berkata projek rintis itu juga akan mengambil modul sekolah agama di Johor sebagai modul contoh kerana mahu KAFA menjadi 'pelengkap' kepada sekolah kebangsaan selain melahirkan modal insan yang baik.

"Kokurikulum baharu ini bukan hanya menekankan mengaji atau fardu ain semata-mata tetapi juga pembentukan nilai sebagai Muslim kerana solat seharusnya membantu mendisiplinkan diri selain diterjemahkan dalam nilai murni lain," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Saya terpaksa tinggalkan kamu semua...maafkan cikgu, maafkan cikgu'

Murid enggan jawab soalan ketika ditanya, ini yang Cikgu Herryan Syah lakukan. Menjadi!

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM