Bagi meraikan kehadiran murid-murid PPKI, Pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 ke sekolah, guru-guru SK Kg Baharu Jerantut Pahang menyantuni mereka dengan pemberian kek cawan setiap seorang.

Menurut guru bertugas mingguan, Cikgu Norafizah binti Abdul Razak, ia  merupakan sebahagian Program Sekolah  Penyayang yang dianjurkan oleh Unit Hal ehwal Sekolah SK Kg Baharu Jerantut Pahang.

Program Sekolah Penyayang pada hari pertama semalam membuktikan keperihatinan pihak sekolah dalam memastikan murid-murid gembira sepanjang berada di sekolah setelah lama menjalani PBdR.

“Guru-guru telah hadir seawal jam 6.45 pagi bagi menyantuni murid-murid dan menyambut mereka dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua warga sekolah. Urusan SOP turut dibantu oleh Pengawal Keselamatan Sekolah,” katanya.

Ibu bapa dan penjaga hanya dibenarkan menghantar anak-anak secara pandu lalu sahaja demi menjaga penjarakan sosial dan keselamatan semua pihak.

 “Murid-murid disantuni dengan pemberian kek cawan bagi melahirkan perasaan ceria dalam kalangan murid-murid, terutamanya murid Pra sekolah dan Tahun 1, kerana ini merupakan hari pertama persekolahan mereka,” ujar Cikgu Norafizah lagi.

Pada hari pertama itu, murid-murid yang hadir diberikan taklimat tentang pematuhan SOP dan garis panduan yang perlu diikuti berdasarkan Panduan Operasi Pembukaan sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.