JERANTUT- Kejohanan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-Sekolah Agama Negeri Pahang (Masisupa) Ke-35 boleh dijadikan platform melahirkan lebih ramai atlet pelapis di Pahang.
Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, penganjuran itu juga peluang terbaik mempamerkan kebolehan pelajar.
"Mereka bukan sahaja belajar agama sebaliknya ada bakat dalam sukan. Mereka mampu bersaing dengan pelajar dari sekolah harian biasa," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup kejohanan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar, Jerantut kelmarin.
Tengku Abdul Rahman diiringi isteri, Cik Puan Nur Bahiyah Mohd Akip; Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam kejohanan tersebut, Zon 2 yang diwakili SMA Pulau Tawar, SMA Al-Ihsan, SMA Al-Irsyad, SMA Maran dan Maahad Sultan Ahmad Shah bergelar juara keseluruhan selepas meraih 17 pingat emas, 20 perak dan sembilan gangsa.
Dalam pada itu,Tengku Abdul mencadangkan sukan memanah dan berkuda diketengahkan sesuai sunnah Nabi Muhammad SAW
Pada acara itu, tetamu dikejutkan dengan kehadiran skuad Tok Gajah bersama pengendali pasukan, Dollah Salleh sekali gus memeriahkan majlis.