KUANTAN - Dunia Mohd Huzairee Ahmad seakan terhenti seketika apabila beliau disahkan lumpuh kedua-dua belah kaki pada usia 23 tahun akibat terjatuh semasa memanjat pokok rambutan.

Mohd Huzairee, 43, berkata keterujaannya untuk bergelar guru juga direntap sekelip mata kerana beliau semasa itu sedang menanti penempatan praktikal bagi melengkapkan kursus perguruan di Maktab Perguruan Pulau Pinang.

"Saya aktif dalam sukan bola sepak dan aktiviti olahraga...luluh hati apabila diberitahu kaki tidak lagi berfungsi. Bagaimana saya mahu menyepak bola?

"Semuanya hilang sekelip mata sehingga saya tidak mahu lagi menonton perlawanan bola sepak. Saya menyisih diri kerana tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kehidupan," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu lalu.

Mohd Huzairee menambah tragedi yang berlaku pada Disember 1999 juga menyebabkan ikatan pertunangannya terlerai, sekali gus membuatkan beliau tidak mahu kembali ke maktab perguruan untuk mengambil barang peribadinya.  

Bagaimanapun, kejadian melihat ibunya Jamaliah Suri, 62, menangis mengenangkan masa depan beliau menjadi titik perubahan kepada dirinya supaya tidak lagi 'meratap kekurangan diri, sebaliknya bangkit mencari semangat'.

"Saya kalah melihat air mata emak, saya mula mempersoal diri sampai bila mahu begini? Lebih dua tahun saya mengabaikan diri dan mengecewakan orang yang terdekat walaupun mereka tidak merungut.

"Perlahan-lahan saya cuba untuk kembali melibatkan diri dengan masyarakat. Alhamdulillah rezeki saya pada tahun awal 2002 saya mendapat peluang kedua untuk bergelar pendidik apabila diminta menghadiri temu duga semula," katanya.

Anak jati Felda Mempaga 1 di Bentong dekat sini, berkata beliau bagaimanapun diuji sekali lagi pada sesi temu duga itu apabila seorang daripada penemuduga mempersoalkan kemampuannya untuk mengendalikan murid dalam keadaan berkerusi roda.

"Saya beritahu padanya tidak mengapalah jika saya tidak layak. Rupanya beliau hanya menguji dan berkata jika saya tidak boleh berhadapan soalan itu, bagaimana saya hendak berdepan realiti yang lebih kasar," katanya.

Kecekalan Mohd Huzairee berbaloi apabila beliau secara rasminya bergelar guru pada Ogos 2002 dan kini berkhidmat sebagai guru muzik, sejarah dan pendidikan Seni di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, Bentong.

Mohd Huzairee bertemu jodoh dengan Siti Nur Azizah Mohd Noor Yusof, 35, pada tahun 2006 dan suri hatinya menjadi inspirasi kepadanya untuk lebih berusaha membaiki kehidupan sehingga boleh memberi motivasi kepada insan senasib.

Katanya, setakat ini beliau telah menerima lapan anugerah termasuk Anugerah Khas OKU Cemerlang yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Pahang di sini, Sabtu lalu.

Beliau juga merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali iaitu 2018 dan 2008, Anugerah Khas sempena Hari Guru peringkat Pahang (2005), Anugerah Guru Cemerlang kategori Kurang Upaya peringkat negeri (2009), Guru Cemerlang Kurang Upaya peringkat Kebangsaan (2010) dan Anugerah Khas sempena Konvensyen Institut Pendidikan Guru (2015).

"Saya harap mereka yang senasib dengan diri saya untuk tidak hanya melihat kepada kekurangan yang ada. Kita kena berani mencabar diri kerana kita tidak tahu di mana rezeki kita. Lawan apa juga halangan yang ada," katanya.- Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Ulang alik ke sekolah dengan kerusi roda, bergelumang najis lembu - Ini dialami seorang guru OKU]

[ARTIKEL BERKAITAN: Akaun facebook guru OKU yang tular diserbu bekas murid, rakan guru dan orang ramai]