Universiti Malaysia Pahang (UMP) sedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus mulai 6 Mac ini bagi mengikuti pengajian Semester II 2020/2021.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr Mohd Rosli Hainin berkata, hanya enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal seperti yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Bagi pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing sebelum hadir ke kampus pada 20 dan 21 Mac ini.

"Ini selaras dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh KPT yang membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing, seawal 1 Mac depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa sama, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian masih diteruskan.

Pelajar dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan kembali ke kampus dan bagi pelajar yang memerlukan keterangan lanjut boleh menghubungi bilik gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan). - BERNAMA