MINGGU lalu kita dikejutkan dengan isu guru yang merotan pelajar kerana kesalahan mengejek guru.

Isu ini perlu membuka  minda semua pihak tentang hakikat keberkesanan pendidikan  di negara kita. Adakah benar pendidikan yang dilaksanakan berjaya mengubah tingkah laku pelajar?

Pelajar diumpamakan seperti seorang anak di sekolah. Selagi  mana seorang guru mengambil peduli, menegur dan membimbing pelajar  bermakna guru itu masih punya sikap cakna dan peduli kepada anak didiknya.

Namun, apabila seorang pelajar  yang dianggap sebagai seorang anak cuba mencabar kewibawaan seorang guru dengan mengejek dengan panggilan ‘pondan’.. satu istilah yang tidak sepatutnya dilontarkan kepada rakan sendiri apatah lagi kepada seorang guru.

Maka, tindakan guru tersebut menegur merupakan satu tindakan  terpuji walaupun bentuk hukuman yang agak keras itu kurang sesuai dilakukan.

Walau bagaimanapun, situasi yang dihadapi oleh guru berkenaan  sebenarnya merupakan satu situasi getir yang melibatkan mujahadah jiwa untuk emosi, kasih sayang juga nafsu amarah.

Niat asalnya mungkin  untuk mendidik namun guru sebagai manusia  biasa juga akan tewas dengan emosi apabila dipermain dan dipersenda oleh pelajar sendiri.

Merotan pelajar perempuan merupakan  satu kesilapan sekiranya kita hanya merujuk kepada  Peraturan 5 Ordinan pelajaran 57.

Namun, kita juga perlu meletakkan diri pada situasi guru berkenaan yang telah dijentik emosi secara terbuka.

Tidakkah kita lupa tentang hadis Rasulullah SAW yang  menjelaskan tindakan terbaik untuk anak yang melanggar perintah Allah adalah dengan merotan seawal usia 9 tahun (Hadis Riwayat Abu Daud: 495).

Tindakan rotan itu tidak dikhususkan kepada jantina tertentu seperti lelaki  sahaja namun hukuman itu tertakluk kepada kanak-kanak perempuan juga.

Kita bukannya bertujuan  membelakangkan peraturan namun kita juga perlu melihat hikmah  tersembunyi di sebalik saranan rotan bagi mengatasi asas dalam agama iaitu solat. 

Apatah lagi dalam situasi pelajar sekarang yang berhadapan dengan pelbagai gejala dan isu disiplin yang serius.

Maka, adalah wajar kita mengaitkan  ajaran Islam iaitu rotan dengan tujuan asal pendidikan untuk membentuk  akhlak dan tingkah laku pelajar.

Islam sebagai agama yang syumul  menetapkan panduan terperinci untuk merotan pelajar. 

Abdullah Nasih Ulwan sebagai sarjana ulung dalam pendidikan anak-anak telah menggariskan panduan tertentu untuk melaksanakan hukuman rotan.

Antaranya merotan dalam keadaan emosi stabil, tidak merotan di kawasan sensitif seperti kepala, wajah dan dada,  tahap kekuatan rotan hendaklah bermula dengan perlahan dan meningkat tahap kekuatan berdasarkan pertambahan bilangan, penambahan rotan hendaklah dilakukan bergantung kepada perubahan tingkah laku seseorang.

Antara panduan lain ialah hukuman rotan hendaklah  dilaksanakan sendiri oleh  ibu bapa atau guru dan tidak diwakilkan kepada sesiapapun.

Berbalik kepada situasi guru berkenaan, pastinya  semasa merotan  pelajar berkenaan, bukan sahaja emosi amarah namun juga kekecewaan seorang guru atas tindakan pelajar yang selama ini diajar dan dididik selama bertahun-tahun.

Di sinilah letaknya peranan rakanrakan sejawat, pentadbir mahupun  keluarga pelajar untuk menenangkan  keadaan.

Bukannya hadir mereka yang berkepentingan menegakkan benang  yang basah serta mengeruhkan  keadaan.

Tindakan menyebarkan video ke  laman sosial, menularkan sesuatu yang belum pasti kebenarannya seterusnya  menyaman seorang murabbi pendidik jiwa manusia bukanlah tindakan sewajarnya.

Walaupun saman tersebut telah ditarik, namun kejadian itu  merupakan satu lipatan peristiwa yang membuktikan  kegagalan adab seorang murid menghormati guru.

Parut pada badan mungkin akan hilang namun parut pada hati guru pasti akan berbekas selamanya.

DR. SALBIAH MOHAMED SALLEH

Guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan.

Berita lain:

Bagi mereka yang masih kurang jelas mengenai 1BestariNet - Ini penjelasan Ketua Setiausaha KPM

Lumpuh separuh badan, bekas pelajar SMK Sungai Abong cemerlang SPM ini nekad sambung di UTHM

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK