GUA MUSANG - Memanfaatkan masa terluang pada waktu petang selepas pulang dari sekolah dengan mengerjakan kebun sayur memberi pendapatan tambahan kepada pasangan guru, Mohd Jailani Matu Jusoh, 46, dan isterinya, Norzaliza Muktar, 46 tahun.

Mohd Jailani mengakui mampu meraih pendapatan lumayan apabila kebun yang diusahakan di tanah seluas 0.8 hektar menggunakan kaedah fertigasi dan konvensional mampu menghasilkan kira-kira satu tan metrik timun, cili kulai dan labu air.

"Kaedah fertigasi dalam penanaman sayur ternyata memberi penjimatan kerana ia lebih ringkas dan mudah diselenggara berbanding penanaman secara tradisional.

"Hasil yang dikeluarkan juga lebih banyak dan kurang ancaman serangga perosak berbanding sayur yang ditanam di atas tanah,” katanya ketika ditemui pemberita di kebun sayurnya di Kampung Lepan Jaya di sini, hari ini.

Mohd Jailani turut menzahirkan rasa bangganya kerana kini mampu menggaji lapan pekerja dalam kalangan belia tempatan, hasil titik peluhnya sejak beberapa tahun lepas.

Beliau juga tidak kisah berkongsi ilmu pertanian moden bersama kesemua pekerjanya agar mereka boleh mengusahakan kebun sayur sendiri pada masa hadapan.

Beliau sudah membuat perancangan untuk memperluaskan lagi kebun sayurnya dalam masa terdekat dengan menanam 20 jenis sayuran untuk pasaran tempatan. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat...Allahuakbar

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar