GEORGETOWN - Berdepan dengan anak-anak jalanan dan gelandangan bukan satu perkara mudah malah ia dilihat amat mencabar.

Namun bagi Pengetua Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit, Zulkernai Fauzi, 53, cabaran itu diambil sebagai satu tanggungjawab untuk mendidik golongan yang tercicir agar menjadi insan yang berguna.

Beliau berkata, sekolah yang hanya mempunyai 155 pelajar berusia empat hingga 19 tahun itu mempunyai tujuh buah kelas dan 16 guru sahaja.

Sekolah yang mula beroperasi di Chow Kit pada 19 Ogos 2013 dan tidak dikenakan yuran itu bertujuan untuk menyelamatkan dan memberi pendidikan kepada anak-anak jalanan agar tidak terus hanyut dalam masalah sosial.

Menurutnya, berbekalkan hubungan rapat dengan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) beliau akan keluar mencari golongan istimewa itu untuk memujuk mereka agar ke sekolah.

“Sekolah saya unik, satu-satunya sekolah pelajar tidak pakai pakaian sekolah dan ada yang datang berkaki ayam. Sekolah kerajaan ini di bawah Kementerian Pendidikan namun tiada kelas (tahun dan tingkatan). Semuanya bercampur dalam satu kelas mengikut kebolehan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sekolah terbabit mengutamakan pembentukan sahsiah dan jati diri berikutan pelajarnya terdiri daripada mereka yang tercicir.

“Separuh daripada anak murid saya tiada pengenalan diri iaitu tiada surat beranak. Ada juga yatim piatu yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain tinggal di persekitaran sosial tidak sihat.

“Mereka ini, saya sendiri yang pergi cari pada waktu malam antaranya di lorong gelap dan bawah jambatan. Saya pujuk dan yakinkan mereka bahawa saya cikgu, nak bantu mereka untuk bersekolah agar tidak terus terbiar,” katanya.

Zulkernai antara penerima Anugerah Khas Pendidikan dalam Festival Guru Malaysia 2019 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini semalam.

ZULKERNAI

Berhabis ribuan ringgit beli kostum adiwira

Sementara itu, guru Bahasa Melayu dari Tawau, Sabah, Abdullah Alif Dahlan, pula sanggup membelanjakan ribuan ringgit hanya untuk membeli kostum adiwira sebagai salah satu usaha untuk menarik minat muridnya.

Menurut guru berusia 35 tahun ini, sehingga kini, beliau mempunyai lima kostum adiwira iaitu Spiderman, Superman, Captain America, Ironman dan Ultraman.

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Tawau ini berkata, selain berpakaian unik beliau juga menggunakan kaedah silap mata untuk mengajar dalam kelas.

“Saya menggunakan kaedah berpakaian adiwira ini agar murid lebih berminat untuk hadir ke kelas. Bukan setiap hari memakainya, dalam sebulan mungkin sekali dan dua kali sahaja. Ada antara kostum ini mencecah sehingga RM3,000 dan ditempah dari China.

“Kaedah silap mata pula saya gunakan sebagai set induksi,iaitu sebelum sesi pembelajaran bermula. Saya belajar sendiri dan ada juga saya masuk kelas. Ini semua inisiatif saya sendiri untuk menarik minat murid di dalam kelas. Saya lihat, keberkesanan usaha saya ini, kehadiran dan prestasi murid meningkat,” katanya.

Abdullah Alif menunjukkan gambarnya yang memakai kostum adiwira Spiderman menerusi telefon bimbitnya.

Guna pelbagai pendekatan didik anak Orang Asli

BAGI guru bahasa Inggeris SK Runchang, Pahang, Samuel Isaiah, 32, cabaran yang dihadapinya adalah berhadapan dengan murid-murid Orang Asli berbangsa Jakun yang mempunyai persepsi berbeza tentang pelajaran.

Menurutnya, sekolah yang mempunyai 260 murid dan 12 kelas itu mempunyai masalah kedatangan dan keciciran berikutan Orang Asli berbangsa Jakun mementingkan Adat Sayet iaitu tidak mempercayai tindakan memaksa anak-anak dalam sesuatu perkara.

“Saya mula mengajar di sekolah itu sejak 2012 sehingga sekarang. Cabaran utama saya adalah bagaimana nak yakinkan murid dan waris mereka bahawa pelajaran itu penting.

“Saya berusaha mendapatkan dana untuk membeli fasiliti seperti komputer bagi membolehkan pelajar Orang Asli belajar sama seperti pelajar sekolah di bandar. Saya menggunakan kaedah muzik dengan bermain alat muzik ukelele dalam kelas bagi menarik minat pelajar,” katanya.

Menurutnya, beliau juga berusaha mengadakan ‘sekolah pokok’ iaitu sesi pembelajaran di dalam hutan atau berdekatan dengan rumah pelajar.

“Sesi pembelajaran ini inisiatif saya sendiri. Saya jalankan selepas waktu persekolahan iaitu berkonsepkan kelas terbuka dan terdedah dengan alam sekitar. Saya cuba untuk ‘masuk’ ke dalam kehidupan Orang Asli agar mereka lebih selesa untuk belajar.

“Memang penat, saya perlu kerja lebih masa malah saya berulang 200 kilometer sehari untuk pergi dan balik sekolah. Namun ia berbaloi apabila anak-anak murid saya kini sudah mampu bercakap bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Samuel antara 16 guru yang menerima Anugerah Guru Adiwira pada Festival Guru Malaysia 2019.

Abdullah dan Samuel antara 16 guru seluruh Malaysia yang menerima Anugerah Guru Adiwira yang disampaikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin semalam.

Kesemua anugerah itu disampaikan dalam Festival Guru Malaysia 2019 yang dianjurkan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sempena sambutan Hari Guru 2019, bermula 12 hingga 16 Mei ini.

ARTIKEL MENARIK:

'Cikgu tak tahu, kami nak hargai jasa guru.' - Tindakan ibu bapa ini buat guru terkejut (11 foto)

Guru bawa zaman Kesultanan Melayu Melaka ke SK Lubuk Bongor - Terbaik cikgu! (27 foto)

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi

Ramai kagum, baru 13 tahun dah jadi imam solat terawih… tahniah buat ibu dan ayahnya