Selepas 39 tahun, Cikgu Badulisham Mohd Nor menamatkan perkhidmatannya dalam satu majlis penuh gilang-gemilang di Dewan Cempaka, Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai, Perak, pada 16 Januari lalu.

Cikgu Badulisham menerima syiling emas daripada Fatimah.

Beliau yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah itu kelihatan sebak tatkala tayangan multimedia persaraan ditayangkan.

Tayangan berdurasi sekitar 15:55 minit itu bukan sahaja berkongsi tentang sejarah pendidikan dan perkhidmatan beliau, bahkan turut ditayangkan kisah kejayaan yang pernah diperoleh sepanjang bergelar pendidik.

Terdahulu, guru yang mendapat pendidikan awal di Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras, dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan itu turut menyempurnakan simbolik serah tugas dengan menggunakan baton kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Baharim Ismail.

Simbolik serah tugas kepada PK Kokurikulum, Cikgu  Baharim Ismail

“Saya terkejut dan tak terkata apa. Penghargaan yang diberikan oleh guru besar dan rakan pendidikan menyentuh hati saya,” katanya.

Majlis anjuran Kelab Guru dan Kakitangan SK Bagan Serai itu turut  dimeriahkan dengan kehadiran 80 guru, 396 murid dan kenalan beliau.

Pada majlis tersebut, Cikgu Badulisham menerima pelbagai hadiah termasuk syiling emas, jam tangan, kasut, tali pinggang, dan sepasang baju.

Tambah guru asal Butterworth, Pulau Pinang ini lagi, beliau berpuas hati menjadi pendidik kepada berjaya meninggalkan legasi kejayaan legasi kejayaan dari segi pengurusan sukan dan kejurulatihan bakat kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Bagaikan hantaran perkahwinan, guru membawa dulang hadiah yang akan diberikan kepada cikgu Badulisham sempena hari persaraan beliau.

“Semoga legasi kejayaan yang pernah diterajui sebelum ini dapat diteruskan dan ditambah baik oleh rakan-rakan,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Cikgu Badulisham memberitahu banyak kenangan manis yang dikecapinya sepanjang terlibat dengan Pengurusan Sukan dan Jurulatih Olahraga SK Bagan Serai.

Cikgu Badulisham (dua dari kiri) bersama rakan semaktab ketika dijemput sebagai pelepas Kejohanan Olahraga Sekolah SMK Sri Perak, Padang Rengas

Antara kemanisan yang akan dikenang beliau adalah berjaya merampas kejuaraan Johan Daerah Kerian selepas tiga tahun Program Pembangunan Olahraga/Merentas Desa dianjurkan.

Cikgu Badulisham (tujuh dari kiri) ketika menyertai Kem Latihan Jumps Asian Youth Athlits di Qatar.

“Program pembangunan tersebut bermula pada tahun 2000 kemudian pada tahun 2006 hingga 2011, sekolah SMK Sri Kurau berjaya meraih kejuaraan pada Kejohanan Olahraga Daerah manakala di Kejohanan Merentas Desa Daerah pada tahun 2007 sehingga 2009, sekali lagi SMK Sri Kurau dinobatkan sebagai juara,” katanya.

Patuh arahan

Selain memperoleh pelbagai anugerah, beliau juga turut membantu melatih jaguh olahraga negara seperti Mohd Zaki Sadri, Hakimi Ismail dan Kirthana Ramasamy.

Disebabkan minat mendalam dalam olahraga, beliau juga terpilih untuk mengikuti Program Olahraga IAAF Lompatan Kelas 2 di Indonesia dan Qatar selain turut menerima Sijil Tertinggi Kejurulatihan Olahraga, iaitu IAAF Lompatan Kelas 2 - Indonesia 2001 dan IAAF Lompatan Kelas 2 (Adv) - Qatar 2014.

“Tiada yang istimewa mahupun rahsia, saya hanya seorang guru biasa yang bersikap rendah diri dan sentiasa hormati serta patuh kepada arahan atasan.

Cikgu Badulisham (dua dari kiri) bersama pasukan rasmi Kids Athletics Perak sebelum bertolak ke Macao pada Disember 2019.

“Cuma semua arahan, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberi pihak sekolah, PPD, dan JPN akan saya laksanakan dengan penuh sempurna serta tanggungjawab. Di samping kerjasama erat rakan guru yang sentiasa siap siaga turun padang.Keredhaan ALLAH dan juga keluarga, terutamanya isteri yang sangat menyokong juga penting. Tanpa sokongan dan doa dari keluarga siapalah saya,” ujar bekas Pengurus Pasukan Program Kids Athletics Perak, Macao ini.

Bersama sebahagian rakan guru SK Bagan Serai sehari sebelum bersara.

Beliau yang memulakan profesion sebagai guru pada 2 Januari 1981 dilantik sebagai PK Kokurikulum, SK Bagan Serai pada 1 Julai 2012, sebelum itu pernah berkhidmat di Sekolah Menengah (SMK) Seri Kurau pada 1981 sehingga 2012.

“Minat saya dalam bidang olahraga, dipupuk sejak saya di bangku sekolah lagi apabila dapat opsyen Pendidikan Jasmani Pendidikan Kesihatan (PJPK) di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), saya terus mendalami pengurusan serta kejurulatihan.

"Tambahan pula masa tu saya satu kelas dengan atlit kebangsaan, Zaiton Othman," katanya.

Bagi Cikgu Badulisham,  olahraga adalah satu seni yang ajaib kerana memberi pendedahan latihan kemahiran yang unik bagi setiap disiplin acara, seseorang yang tidak tahu melompat boleh mencipta rekod daerah dan negeri sekiranya ada kesungguhan dan latihan tanpa mengira masa.

Kata beliau lagi, tidak putus asa adalah kunci kejayaan. Beliau tidak pernah mengalah, sebaliknya terus merancang dan  melatih atlet sehingga berjaya.

Pasukan Kids Athletics Perak sebelum pertandingan di 2019 Asian Kids Athletics Event.

Apatah lagi, beliau sendiri pernah beberapa kali mengikuti kursus kejurulatihan tahap tinggi di luar negara.

“Seseorang guru mahupun jurulatih itu perlulah kreatif dan berinovasi jika ingin berjaya.

“Walaupun sudah bersara wajib, kerjaya saya sebagai pendidik tidak akan terhenti, saya akan cuba salurkan ilmu dan pengalaman yang ada demi anak bangsa,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar Bagan Serai, Fatimah Hashim berkata, persaraan Cikgu Badulisham sudah tentulah satu kehilangan besar bagi sekolah.

Apatah lagi beliau seorang guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan dan permainan.

“Sesuai dengan sumbangan bakti yang dicurahkan oleh beliau sepanjang 39 tahun perkhidmatan, kami memilih konsep bunga mekar yang bercahaya pada majlis tersebut.

“Ia sangat selari dengan sumbangan dan usaha Cikgu Badulisham menggilap serta menggalakkan murid berjaya terutamanya dalam bidang olahraga,” katanya.

Sumbangan Cikgu Badulisham bukan sahaja di peringkat sekolah, bahkan turut mengharumkan nama Perak dengan pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Info

Anugerah yang diperoleh:

Anugerah Sukan MSS Perak - Pengerusi Teknik Olahraga 2018, 2019

Anugerah Khas Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD - Penerima Anugerah Khas 2018

Perkhidmatan Cemerlang 1994, 2002, 2011

Anugerah Guru Cemerlang PPD 1998

Anugerah Khas Hari Guru PPD 2015

Anugerah Sukan Emas MSS 2013

Anugerah Sukan MSS Perak - PTPS 2018, 2019

Tokoh Sukan Daerah Kerian  2007

Anugerah Penghormatan Guru 2010

Anugerah Gemilang-Pengerusi Teknik Sukan Terbaik 2013

 

Jawatan lantikan:

Jurulatih Bola Baling MSSPK (1987)

Penyelaras Pusat latihan Angkat Berat MSN Perak (2000-2012)

Pengerusi Teknik Olahraga MSS Kerian (1998-2017)

Pengerusi Teknik Olahraga MSS Perak (2017-2019)

Ketua Jurulatih Olahraga MSS Perak

Penyelaras/Jurulatih Olahraga PLD Negeri/Daerah (1988-2019)

Pengurus Pasukan Kids Athletics Perak ke Macao (2019)

Pengerusi Teknik Olahraga Kerian (1998-2017)

Pengerusi Teknik Olahraga Perak (2017-2019)

Ketua Jurulatih Olahraga MSS Perak

Olahraga PLD Negeri/Daerah (1988-2019)

Pengurus, 1st Asean Kids Athletics Macao (2019)

 

Sijil Tertinggi Kejurulatihan Olahraga:  

IAAF Lompatan Kelas 2 - Indonesia 2001

IAAF Lompatan Kelas 2 (Adv) - Qatar 2014

 

Pencapaian:

Pasukan Olahraga SMK Sri Kurau - Johan Daerah lima kali berturut-turut

Pasukan Olahraga SK Bagan Serai - Naib Johan Daerah dua kali (2017, 2019)

Pasukan Hoki (P) dan Bola Baling SMK Sri Kurau - Johan Daerah

Jurulatih Atlet Olahraga - Kirtana Ramasamy (Program Pembangunan Daerah) dan Hakimi Ismail (Bersama jurulatih pasukan daerah LMS) acara lompat jauh dan kijang semasa dengan

pasukan olahraga MSS Perak dan SUKMA. Kedua-duanya kini atlet Kebangsaan.

Bekas atlet Negara - Zaki Sadri, Rahman Koyakutty (Program Pembangunan Daerah-1985-1986) - Lompat jauh dan pecut

Artikel Menarik:

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat...Allahuakbar

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak