SMK Saujana Utama (SUTAMA) mengakhiri tahun 2019 dengan kejayaan paling besar setelah berjaya merangkul 120 anugerah hingga ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Sesuai dengan kebitaraan sekolah, iaitu bidang inovasi, SUTAMA gah menjulang nama negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa sehingga satu per satu inovasi yang dibuat mengiktiraf kreativiti dan kebolehan pelajar dan guru.

Selain itu, kejayaan turut dicapai dalam pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Terbaharu sebagai penutup kejayaan tahun ini, SUTAMA melakar kejayaan cemerlang apabila diumumkan sebagai penerima anugerah pada Karnival Pendidikan dan Anugerah Hari Kualiti PPDKS 2019, di Inpens International College, Kuala Selangor, 6 November lalu.

Menerima 13 anugerah dalam pelbagai kategori, tentunya membuatkan ramai yang ingin tahu, apakah rahsia dan formula yang telah dilakukan oleh guru-guru sekolah ini.

Pengetua SUTAMA, Noor Hayati Embong melahirkan rasa syukur kerana SUTAMA telah banyak mencipta kejayaan pada tahun ini.

"Saya baru berkhidmat setahun empat bulan di sekolah ini. Memang tak sangka sangat bila SUTAMA sudah berada hingga tahap sekarang," katanya kepada GPS Bestari.

Noor Hayati menunjukkan sebahagian anugerah yang berjaya diterima SUTAMA dalam pelbagai bidang.

Beliau yang tular sebelum ini dengan kejutan yang dibuat gurunya berkata, kejayaan itu hasil kerja berpasukan yang mantap antara guru, pelajar, PIBG dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) selain sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor.

"Kehadiran saya di SUTAMA bersama strategi Disiplin Guru, Disiplin Murid dan Keselesaan (DGMK) warga Sekolah. Bermula dari itu saya mula mengorak langkah.

"Sebagai pengetua, saya meletakkan nilai kepada semua guru dan pelajar. Bagi saya guru dan pelajar diibaratkan permata yang sangat berharga. Setiap daripada mereka mempunyai kelainan bakat dan potensi," katanya.

Tambahnya lagi,  bakat dan potensi itu perlu dihargai, diserlahkan dan disantuni dengan pelbagai cara sama ada dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas, peperiksaan, melaksanakan program atau aktiviti sehinggalah kepada pencapaian dalam pelbagai kejayaan.

Noor Hayati bersama piala dan sijil yang peroleh SUTAMA pada Karnival Pendidikan dan Anugerah Hari Kualiti PPDKS 2019, di Inpens International College, Kuala Selangor.

"Dengan izin ALLAH SWT warga SUTAMA dapat merealisasikannya. Setiap kepelbagaian bakat dan potensi ini perlu diraikan dan ditonjolkan sehingga ke tahap yang terbaik. Bukan itu sahaja, apabila bakat dan potensi pelajar diserlahkan maka secara tidak langsung sekolah telah disuntik dengan persekitaran kerja yang seronok dan bermotivasi serta sentiasa dipenuhi dengan aura dan cara berfikir yang positif," katanya.

Jelasnya, motivasi yang konsisten dan keseronokan bekerja merupakan perkara penting yang perlu ada dalam diri pelajar dan guru.

"Dalam konteks ini elemen dan nilai kasih sayang, cakna dan prihatin saya hulurkan kepada semua warga sekolah dalam pelbagai cara. Apabila kita memberikan cinta dan kasih sayang kepada mereka maka ini menjadi satu senergi untuk mereka bangkit menyerlahkan bakat dan potensi diri ke tahap yang tertinggi tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit.

"Bagi meningkatkan motivasi murid dan guru yang sentiasa konsisten, diperkenalkan “Battle cry” pada hari pertama persekolahan iaitu “SUTAMA THE CHAMPION” yang menjadi kata keramat dan doa serta suntikan motivasi yang dilaungkan dalam setiap acara dan aktiviti.

"Laungan keramat ini telah memberikan semangat untuk semua guru dan murid untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Setiap kejayaan sama ada kecil atau besar akan diraikan bersama-sama dengan penuh kegembiraan dan kasih sayang," ujarnya.

Noor Hayati (tengah) bersama pasukan inovasi SUTAMA berkongsi rahsia kejayaan mereka di Jepun dalam Selamat Pagi Malaysia.

Pintu terbuka

Noor Hayati membuka pintu seluasnya kepada guru-guru sekolah untuk membincangkan apa sahaja perkara berkaitan dengan sekolah.

"Pintu bilik saya sentiasa terbuka untuk guru, saya juga persiapkan minda dan sikap terbuka dalam menangani segala hal, dengan cara ini saya melihat guru-guru boleh terus berjumpa dengan saya dan berkongsi idea, masalah dan cadangan tentang sesuatu perkara.

"Sikap “Friendly” dipraktikkan dengan guru, staf, murid dan ibu bapa walaupun begitu mereka tetap hormat menghormati antara satu sama lain," katanya.

Mengenai harapan pada tahun 2020 pula, Noor Hayati berharap SUTAMA terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum melalui gandingan mantap kerja berpasukan guru, murid dan PIBG serta KSIB.

"Kehadiran pelajar ke sekolah, kejayaan dalam peperiksaan dan pentaksiran serta keciciran pelajar antara menjadi keutamaan dalam memastikan yang mereka mendapat pendidikan sempurna di sekolah.

"Komitmen dan motivasi guru dan pelajar perlu sentiasa konsisten untuk mengharungi tahun 2020. Namun demikian apa yang lebih penting ialah dalam apa jua kejayaan yang dicapai akan berbalik semula kepada hasil terakhir sekolah iaitu keberhasilan murid dan memanusiawi pelajar di SUTAMA kerana di sekolahlah bermulanya gerbang masa depan pelajar," ujarnya.

Inovasi SUTAMA jadi perhatian

Pelbagai inovasi berjaya dibangunkan oleh kumpulan inovasi SUTAMA tahun ini.

Antaranya, Anfilizer, Bedak Sejuk Semambu, Pocket Breakfast, Water Vacuum , Anti Larva And Anti Microbe (Antarlosum), Antiseptic Herbal Kit, Rebook dan yang terkini Mycomp.

Pelbagai peringkat pertandingan telah disertai SUTAMA dalam bidang inovasi. Bermula dengan peringkat negeri, kebangsaan sehinggalah ke antarabangsa.

Pada Jun lalu, kontinjen SUTAMA Edu Adventures Tokyo Japan telah berlepas ke Tokyo, Jepun dengan membawa tiga produk untuk dipertandingkan iaitu Anti Larva and Anti Mikrob Extraction of Piper Sarmentosum by Using School Apparatus (Anlartosum), Antiseptic Herbal Kit dan MyComp.

Noor Hayati meraikan kejayaan setelah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Sayangi [email protected] dan MyDMBS peringkat kebangsaan.

Ketua Kontinjen, Siti Maslinda Syed Musa berkata, menerusi pertandingan itu, kontinjen berjaya membawa pulang dua pingat emas dan satu perak.

"Syukur sangat dapat tiga pingat ini. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras semua para guru, murid dan sokongan PIBG serta motivasi daripada Ketua Pegawai PPD Kuala Selangor, Marpuaton Sastero.

"Dan kini, kami berjaya hasilkan tiga lagi produk baru yang baru sahaja merangkul satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pertandingan IIDEX 2019," katanya.

Siti Maslinda

Pelajar SUTAMA yang menyertai Perkhemahan Pengakap Wanita peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Terengganu.

REAKSI GURU

1) "Sebagai guru, kita kena ada sistem komunikasi dua hala yang berkesan di antara pelajar dan guru. Selain itu memberi kata semangat dan mendorong pelajar untuk mencuba."

- Cikgu Saedin Husni

Guru Taekwondo dan Pendidikan Islam

2) "Saya berasa bertuah kerana diberi kepercayaan memegang Unit Kadet Remaja Sekolah (KRS) SUTAMA. Bagi saya ia adalah platform yang terbaik bagi pelajar untuk membentuk jati diri dan disiplin. Misi KRS tahun hadapan adalah meraih lebih banyak pencapaian dalam pertandingan yang disertai."

- Siti Mariam Din

Guru KRS dan Sejarah

3) "Kami telah menggunguli tempat pertama pencapaian emas dengan mengalahkan 115 buah sekolah seluruh Malaysia pada pertandingan Sayangi [email protected] dan MyDMBS peringkat kebangsaan. Formula kejayaannya adalah kerja berpasukan yang mantap dalam menjayakan program ini."

- Siti Hajar Abu Bakar

Guru Bahasa Melayu

4) "Seramai 16 pengakap perempuan SUTAMA telah mencapai Anugerah Cemerlang dan menerima dua sijil The Malaysia Book Of Records pada Perkhemahan Pengakap Wanita peringkat kebangsaan. Ini pencapaian yang sangat membanggakan kami."

- Norihan Yusof

Guru Pengakap dan Sains

5) “Saya bangga dengan kemahiran yang dimiliki pelajar SUTAMA terutama dalam multimedia dan seni kreatif digital.”

- Siti Mariam Che Omar

Guru Pusat Sumber Sekolah dan Matematik

INFO

Antara anugerah yang diterima sepanjang 2019

1. Anugerah Khas Bioteknologi, Kesihatan dan Kimia, Pameran Inovasi, Kreativiti dan Teknologi Antarabangsa (i2CREATE) 2019

2. Pingat Emas Kategori Sekolah Menengah, i2CREATE 2019 (Inovasi Anlartosum)

3. Pingat Emas Kategori Sekolah Menengah, i2CREATE 2019 (Inovasi Mycomp)

3. Pingat Perak Kategori Sekolah Menengah, i2CREATE 2019 (Inovasi Antiseptic Herbal Kit Using School Apparatus)

4. Pingat Perak, Ikon Remaja Kategori Ikon Inovasi i2CREATE 2019 (dua pingat)

5. Pingat Gangsa, Ikon Remaja Kategori Ikon Inovasi i2CREATE 2019 (dua pingat)

6. Pingat Perak, Kategori Mentor Inovasi i2CREATE 2019

7. Anugerah Khas Ekspo Rekabentuk, Idea dan Rekacipta Jepun 2019

8. Pingat Emas, Ekspo Rekabentuk, Idea dan Rekacipta Jepun 2019 (Inovasi Anlartosum)

9. Pingat Emas, Ekspo Rekabentuk, Idea dan Rekacipta Jepun 2019 (Inovasi Mycomp)

10. Pingat Perak, Ekspo Rekabentuk, Idea dan Rekacipta Jepun 2019 (Inovasi Antiseptic Herbal Kit Using School Apparatus)

11. Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi UPM

12. Pingat Emas, Pameran rekacipta, Inovasi dan Rekabentuk (Iidex19) (Inovasi Strofloor)

13. Pingat Perak, Iidex19 (Inovasi Neem Azalaena Herbal Care dan Mycomp)

14. Pingat Gangsa,  Iidex19 (Inovasi Cre-wrap)

15. Pingat Emas, UiTM Maker Talent peringkat kebangsaaan 2019 (Inovasi Mycomp)

17. Anugerah Pengurusan Latihan Personal Terbaik

18. Anugerah Pengurusan Kantin Selamat Terbaik

19. Anugerah Pengurusan Disiplin Terbaik

20. Anugerah Johan Keseluruhan MSSD

21. Anugerah Inovasi Sekolah Menengah

22. Anugerah Peningkatan GPS SPM 2018

23. Anugerah Peningkatan Peratus Lulus SPM 2018

24. Anugerah Pengurusan Pengerusi Daerah Panitia bahasa Inggeris

25. Anugerah Pengurusan Pengerusi Daerah Panitia Perniagaan

26. Anugerah Gerai Terbaik- Koperasi

27. Anugerah 100% Kursus Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan (SPLKPM)

28. Anugerah Emas (Johan) Sayangi [email protected] dan MyDMBS

29. Anugerah Murid Bestari (Pengaturcaraan) (Adam Syukran Mohd Azhar, Tingkatan 5D)

Artikel Menarik:

13 aktiviti menarik sempena hari pertama persekolahan - Cikgu-cikgu boleh cuba ni

Nasihat 'deep' Cikgu Hailmi buat guru baru posting - Hadam baik-baik