“Saya pun ada anak-anak. Kalau anak saya jadi macam adik Afiq, duduk jauh dari mak ayah, kurang upaya, hilang duit pula masa nak balik rumah… memanglah hati kita sebagai bapa akan risau dan sedih.

“Sah-sahlah masa tu, saya harapkan akan ada orang lain datang bantu anak-anak kita bila berlaku musibah dan kesusahan...sudahlah anak istimewa, jauh pula dari keluarga,”

Demikian penjelasan Juru Enjin feri milik Syarikat Penang Port Sdn Bhd, Shaikh Afandi Shaikh Abd Rahman, kerana membantu seorang pelajar kurang upaya, Muhammad Afiq Rosdi, 18, yang kehilangan beg duit ketika dalam perjalanan dari jeti Pengkalan Raja Tun Uda, Pulau Pinang ke Pengkalan Sultan Abd Rahman di Butterworth.

Krew feri yang banyak membantu Afiq

Menerusi perkongsiannya bersama GPSBestari, selain Afandi, ada beberapa kru feri lain turut sama membantu, antaranya Kapten feri, Muzamir Khan, Serang, Halid Hussin dan juga Kelasi feri, Mohd Kabir.

“Ketika kejadian, lebih kurang jam 12.30 ke pukul 1.00 petang. Afiq yang duduk di dek atas datang bertemu kami. Wajahnya nampak cemas dan seperti sedang mencari sesuatu.

“Pada awalnya memang susah juga nak faham apa yang cuba Afiq sampaikan. Tapi bila Afiq teks kepada kami menerusi telefon bimbitnya, baru kami faham, rupanya Afiq kehilangan beg duitnya. Di situlah timbul perasaan kasihan dan simpati pada Afiq,”jelas Afandi.

Afandi yang sudah 17 tahun berkhidmat dengan syarikat pengendali feri itu berkata, keadaan Afiq sangat meruntun hati beliau dan rakan yang lain.

Dia bukan sahaja kehilangan duit, bahkan kad bank, kad pengenalan dan juga kad OKUnya juga turut hilang.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kru feri tersebut, selain cuba mencari beg duit dalam beg pakaian Afiq, mereka juga turut menghubungi Grab yang dinaiki oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang itu sebelum ini.

“Kapten kami juga ada mohon bantuan kru di Pengkalan Raja Tun Uda membuat pengumuman dan pencarian. Tapi, kami masih tak berjaya menemui beg duit Afiq.

“Waktu tu kami cuba pujuk Afiq supaya bertenang dan bersabar. Selain cuba menghubungi ibu dan ayahnya di Kuala Lumpur, kami turut bersepakat untuk membawa balik Afiq ke Pulau Pinang,”ujarnya.

Menurut Afandi, ketika dalam perjalanan pulang itulah mereka berpakat  untuk membuat kutipan di antara kru dan menghantar Afiq menaiki bas ke Kuala Lumpur.

Namun tak sangka pula usaha murni kru feri milik Syarikat Penang Port Sdn Bhd itu turut mendapat perhatian salah seorang penumpang yang menaiki feri tersebut.

Afiq di dalam bas

“Waktu tu kami disapa oleh salah seorang penumpang lelaki dalam feri. Setelah diceritakan hal sebenar, hamba ALLAH tersebut terus menghulurkan sejumlah duit kepada kami. Saya betul-betul terkejut, sungguh baik hati hamba ALLAH itu.

“Setiba kami di Pulau Pinang, Kapten telah mengarahkan Halid Hussin untuk membawa Afiq ke Penang Sentral di Butterworth. Duit hasil kutipan tersebut kami gunakan untuk membeli makanan dan tiket bas Afiq ke Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan.

“Afiq, kami tidak tinggalkan dia di situ, kami pun dah berjanji dengan mak ayah Afiq untuk menjaganya dengan baik. Selepas Afiq selamat menaiki bas pada jam 4.00 petang, barulah hati kami benar-benar lega,”katanya.

Sementara itu, ibu Afiq, Arfidah Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau sangat terkejut ketika dihubungi kru feri pada hari kejadian.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana masih ramai yang prihatin dan berhati mulia di luar sana.

“Siapa yang tidak risau bila mendapat tahu anak syurga saya yang mempunyai masalah pendengaran, dan bisu berhadapan dengan musibah. Mujurlah Afiq bertemu dengan orang yang baik hatinya seperti Afandi dan rakan-rakannya.

Afiq bersama ayah dan ibunya

“Waktu tu, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa risaunya saya. Kalau boleh hari tu juga saya dan suami nak terbang ke Pulau Pinang. Tapi nasib baiklah kami ditenangkan kembali oleh kru feri yang menjaga anak saya. Kata mereka, kami tak perlu bimbang. Afandi dan rakan-rakannya berganding bahu membantu membuat kutipan duit untuk membeli tiket bas dan juga makan minum sepanjang perjalanan pulang Afiq  ke Kuala Lumpur.

“Tambah membuatkan kami sebak, mereka menolak hasrat kami untuk membayarnya balik. Kata mereka, hari ini anak puan… mana tahu kemudian hari giliran anak kami pula,”katanya.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata ini lagi, selain memaklumkan keadaan Afiq kepadanya, kru feri juga turut menghubungi  warden Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang, Cikgu Syakilla tentang Afiq.

“Mereka sangat baik, malah setiap minit bersama Afiq, akan dimaklumkan kepada kami. Termasuklah selamat tiba di perhentian bas, membeli tiket, makan minum dan juga Afiq selamat menaiki bas.

Afiq bersama salah seorang rakan sekolahnya

“Perasaan risau masa tu terus bertukar lega, mereka menjaga Afiq dengan baik. Lebih kurang jam 9.00 malam, Afiq selamat sampai, dan kami terus membawanya ke balai Polis berhampiran untuk membuat laporan kehilangan beg duit.

“Saya hanya mampu memanjatkan rasa syukur yang tiada batasnya kepada ALLAH SWT, kerana  telah memudahkan urusan anak dengan menghantar insan-insan berhati mulia dan bertanggungjawab membantu anak istimewa ini. Doa saya buat mereka, moga ALLAH membalas jasa baik mereka dunia akhirat. InsyaAllah, dalam masa terdekat ni, kami sekeluarga akan ke Pulau Pinang untuk menemui insan-insan hebat yang banyak membantu anak saya, ”jelasnya.

Tambah Arfidah, semoga ramai lagi pihak di luar sana memainkan peranan seperti kru feri yang membantu anak-anak istimewa seperti Afiq. Berhati luhur dan membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan.

Artikel Menarik:

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

'Cantiknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Cikgu K A Razhiyah terima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019