PASIR MAS - Biarpun terik dibakar bahang mentari sekumpulan pelajar Mata Pelajaran Vokasional (MPV) aliran pertanian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong tetap tidak berganjak malah tekun mendengar arahan yang diberikan guru mereka berkaitan kerja penyediaan batas tanaman.

Bukan itu sahaja, pelajar berkenaan juga terpaksa menyiapkan batas tanaman tersebut bagi memenuhi sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk aliran berkenaan.

Sungguhpun terpaksa bermandi peluh, bergelumang tanah, baja dan sebagainya sama sekali tidak mengugat semangat anak muda itu untuk menimba ilmu dalam bidang berkenaan.

Ramai yang tidak menyangka aliran pertanian yang disertai pelajar ini mampu menjadi sumber duit poket mereka untuk meneruskan pengajian.

Duit poket itu diperoleh hasil jualan sayur-sayuran,  buah-buahan seperti nanas, naga dan sebagainya yang dipasarkan ke kawasan sekitar.

Jadi tidak hairanlah, pelajar ini akan mengukir senyuman setiap kali hasil tanaman itu dituai.

Kesungguhan sekumpulan pelajar ini berjaya meletakkan SMK Kedondong tersohor pertanian bukan sahaja di Kelantan malah di peringkat kebangsaan.

Maka tidak hairanlah, SMK Kedondong sering menjadi rujukan utama dalam merealisasikan aliran pengajian berkenaan oleh sekolah lain.

Bangga jadi pelajar aliran pertanian

Seorang pelajar Muhamad Adam Mirul Amir Ab Rahman, 17, berkata, dia amat bangga dapat menjadi sebahagian daripada pelajar aliran berkenaan.

Katanya, sungguhpun terpaksa bekerja keras namun kepenatan itu hilang setiap kali hasil tanaman yang diusahakan mulai dituai.

"Saya tidak menyesal mengikuti aliran ini, malah sudah faham apa itu dunia pertanian yang sebenar," katanya.

Menurutnya, sepanjang mengikuti pengajian di aliran ini dia banyak mempelajari selok-belok pertanian dalam skala yang besar.

"Pertanian mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan sekiranya dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh.

"Saya nekad untuk menjadikan pertanian sebagai bidang utama sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti," katanya.

Ilmu pertanian lebih luas

Muhamad Afiq Hamat Nawawi, 17, berkata, dia sama sekali tidak menyangka bidang ini mampu menjamin masa depan sekiranya dilakukan dengan serius.

"Banyak perkara-perkara baharu yang saya pelajari dalam bidang pertanian dan ia lebih tertumpu kepada kaedah moden," katanya.

Menurutnya, kaedah tamanan secara moden ini mampu memberikan pulangan yang lebih lumayan berbanding cara tradisional.

"Tidak salah saya memberanikan diri untuk mengikuti kursus ini.

"Insya-Allah saya akan kembangkan lagi bakat dalam bidang ini sebaik sahaja menamatkan pengajian nanti," katanya.

Punya masa depan cerah

Guru Pertanian SMK Kendondong, Wan Mohd Radzi Wan Salleh, berkata, bidang pertanian menjanjikan masa depan yang cerah sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan skala besar.

"Pelajar yang mengikuti bidang ini didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan dengan pertanian moden agar mereka tidak kekok apabila menamatkan pengajian nanti.

"Ilmu pertanian yang kita bekalkan ini mampu menjadikan pelajar aliran ini berdaya saing apabila berada dalam kelompok masyarakat," katanya.

Menurutnya, antara ilmu pertanian moden yang diajar ialah tamanan secara fertigasi, hidroponik dan sebagainya dalam skala besar.

Ilmu pemasaran turut disemat

Wan Mohd Radzi berkata, ilmu ilmu berkaitan dengan pemasaran turut didedahkan kepada para pelajar terbabit.

Katanya, ilmu ini penting bagi memastikan mereka mampu memasarkan hasil tanaman yang diusahakan itu dengan baik.

"Bila mereka dapat memasarkan hasil, sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah lambakan," katanya.

Mohd Radzi berkata, pelajar yang mengikuti aliran ini akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Katanya, sijil mereka ini mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

"Sijil ini melayakkan mereka berkhidmat dalam sektor pertanian atau perladangan sekiranya mahu.

"Jika tidak mereka boleh memilih untuk berkecimpung dalam bidang pertanian," katanya.

 

Wan Mohd Radzi (kanan) memberikan penerangan berkaitan penyediaan batas tanaman kepada pelajar.

Buah naga antara tanaman yang paling mendapat hasil lumayan diusahakan mereka.

Wan Mohd Radzi (empat, kiri) bersama pelajarnya turut berkongsi kemahiran dengan pelajar sekolah lain.