KAKI BUKIT - Seramai 30 pelajar pasukan St John Ambulans Malaysia (SJAM) Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah (SMKRPMTF) Kaki Bukit Perlis menyertai Kem Kepemimpinan pasukan itu selama tiga hari baru-baru ini.

Penasihatnya, Ahmad Sabri Abd Samad berkata, kem tahunan persatuan ini diadakan bagi memberi kefahaman kepada mereka mengenai objektif menyertai pasukan ini.

"Penyertaan mereka bukan sahaja sebagai aktiviti sampingan malah diterapkan slot tugasan untuk menjadi seorang pemimpin dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan kepada sekolah, komuniti, daerah, negeri maupun kebangsaan.

"Tugasan jawatankuasa persatuan dan ciri-ciri menjadi seorang pemimpin perlu diterapkan termasuk dari segi perancangan, perlaksanaan dan mebimbing ahli dalam persatuan yang diterajui," katanya.

Kem Komandan, Muhd Irfan Ismail yang juga Pengerusi Persatuan SJAM pula berkata, perkhemahan ini memberi semangat dan mendidik mereka untuk bekerja dalam satu kumpulan dan membantu antara satu sama lain bagi mencapai misi yang diimpikan.

"Guru mengajar kita dalam kelas tetapi kelebihan menyertai pasukan seperti SJAM ini banyak kelebihannya.

"Saya dan kawan-kawan lain melihat kem ini berkehendakkan kami bekerjasama dan banyakkan komunikasi dalam perbualan dan juga latihan dalam kumpulan antaranya ketika menjalani latihan kawad, memasak, mempelajari ilmu pertolongan cemas termasuk langkah awal memberi pertolongan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau kemalangan," jelasnya.

Walaupun tiga hari mereka berkhemah disekolah namun ilmu yang dipelajari amat berguna untuk masa depan.

Sepanjang perkhemahan antara aktiviti yang dijalankan ialah cara mendirikan khemah, belajar balutan, menyertai pertandingan memasak, menampilkan diri dalam persembahan dan menyertai aktiviti pendakian digua kelam.