ALOR SETAR - Kejayaan pelajar tahfiz merangkul pingat emas di International Eureka Innovation Exhibition  2019’ di University Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute membuktikan kecemerlangan pelajar tahfiz bukan sekadar menghafaz al-Quran.

Guru pembimbing dari Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Agama Kedah, Badrulhanif Sulaiman  berkata, pelajar tahfiz al-Quran juga mampu setanding pelajar arus perdana lain sekali gus mengubah kualiti penampilan pelajar tahfiz yang lebih quranik, ensiklopedik dan ijtihadik.

“Saya hanya mahu buktikan pelajar tahfiz juga  mampu berdiri megah di peringkat antarabangsa. Di  SMK Agama Kedah, kami gunakan model Ulul Albab dan sebagai penyelaras ICT sekolah, saya mengambil inisiatif ICTuntuk bimbing pelajar tahfiz membina inovasi melalui aplikasi merekod data hafazan, dikenali El Haneeff (long distance hafazan monitoring system),” katanya.

Badrulhanif berkata, pada 9 Oktober lalu, usaha  pelajar tahfiz melalui aplikasi El Haneeff itu membuahkan  hasil apabila dianugerahkan pingat emas di International Eureka Innovation Exhibition 2019, yang disertai ratusan penyertaan daripada seluruh dunia.

“Ini membuktikan pelajar tahfiz mampu beri  saingan dalam hasil penciptaan  baharu dan bukan hanya menghafaz al-Quran. Kami mengambil masa selama setahun untuk siapkan inovasi ini kerana pelajar tahfiz hanya membina aplikasi ini setiap Sabtu pada kelas ICT,” katanya.

Menurutnya, aplikasi El Haneeff terbabit tercetus  setelah melihat permasalahan  dalam pendidikan tahfiz terutamanya bagi sekolah tahfiz model Ulul Albab dari aspek pengrekodan.

“Rekod selama lima tahun perlu disimpan secara  bertulis dalam buku rekod sedikit sebanyak  menimbulkan masalah jika buku rekod hilang atau rosak. Sedangkan semasa pelajar menduduki peperiksaan  SPM, rekod hafazan  selama lima tahun ini diambil kira sebagai pentaksiran yang menyumbang markah," katanya.

Badrulhanif berkata, dengan adanya aplikasi El Haneeff, pelajar, guru serta  waris dapat memantau rekod hafazan pelajar dari jarak jauh dan menyimpannya dengan baik.

“Ia juga memudahkan guru mengenal pasti tahap  pencapaian hafazan setiap  pelajar melalui graf perlembangan  pencapaian hafazan ketika guru mengisi rekod hafazan dalam sistem online,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan langkah permulaan untuk beliau terus mengangkat  martabat pendidikan tahfiz di negara ini. 

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Nak buat sambutan hari lahir anak di sekolah? Cikgu ini beri panduan apa ibu bapa perlu tahu

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan