KOTA BHARU - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa yang menghidapi sakit buah pinggang kronik tahap akhir merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban keluarga bagi membolehkannya menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Ibunya, Yuraini Che Wani ,42, berkata Luqman Fikri, 13, disahkan menghidap sakit buah pinggang kronik sejak dia berusia satu tahun setengah, selepas mengalami demam belarutan dan bengkak di bahagian perut dan sering kelihatan tidak bermaya.

"Pada masa ini harapannya sudah tipis memandangkan keadaan Luqman  sudah berada di tahap akhir, malah jantungnya juga sudah mengecut dan kedua-dua belah buah pinggangnya sudah tidak berfungsi,” katanya kepada pemberita di Program Ziarah Cakna Ramadan SMK Kemumin di rumahnya di Kampung Pulau Gajah di sini semalam.

Terdahulu Naib Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kemumin, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman menyerahkan sumbangan zakat korporat kepada Luqman untuk meringankan beban yang ditanggung. Hadir sama, Pengetua SMK Kemumin Norriha Abd Rahman.

Ibu kepada lima anak berkata, dia merayu kepada orang ramai agar dapat membantu memberi sumbangan memandangkan dia yang satu-satunya bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

"Kami memang susah kerana saya hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM850 sebulan dan suami hanya bekerja kampung yang dibayar RM50 sehari dengan tidak menentu kerana menghidapi jantung tersumbat yang mengehadkan aktiviti hariannya.

Yuraini berkata, kesihatan Luqman anak ketiganya itu mula merosot sejak akhir April lalu menyebabkan kehadirannya ke sekolah juga terbantut akibat terpaksa berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk menerima rawatan dialisis.

"Dia perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu, dan ada ketikanya juga dia memilih untuk berulang alik sendiri dengan menaiki bas tambang kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya yang hanya mempunyai sebuah motosikal bagi kegunaan harian keluarga.

Katanya, lagi menyedihkan rumah sewa yang didiami sekeluarga akan dijual dan mereka perlu mencari rumah sewa lain dalam masa terdekat.

Sementara itu, Norriha berkata pelajar itu sering tersenarai sebagai penerima zakat korporat dan peribadi yang dihulurkan pelbagai pihak.

"Dalam setiap sumbangan di sekolah kota tak tinggal nama pelajar ini dan kita akan cuba dapatkan bantuan pendidikan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk abangnya Abdullah Sani yang juga merupakan pelajar SMK Kemumin yang dilihat mempunyai potensi dalam pelajaran,”katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam bapa Luqman, Fikri Yakob di nombor 03036-02-051913-7 atau boleh menghubungi di talian 017-9612342.- Bernama

 

Berita lain:

Orang luar seronok naik bot, tapi kami di sini sengsara' - Ini luahan Orang Asli

Mohon EGtukar tapi tak pernah lulus - Akhirnya guru ini buat 'sesuatu' dan keputusannya mengejutkan

'Pelaksanaan program akademik, kelas tambahan atas permintaan guru dan murid' - Majlis Guru Besar