Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Agroteknologi), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Amirul Shahadam Suhasmadi, memanfaatkan buah nanas dan strawberi yang banyak ditanam di negara ini untuk menghasilkan produk inovasi Sos Cili berperisa tanpa bahan pengawet.

Produk inovasi yang dihasilkan adalah Sos Cili berperisa Strawberi, Sos Pencicah perisa Nanas dan Sos Pencicah perisa Ketumbar yang mula dijual di pasaran pada bulan November 2020.

Amirul Shahadam yang mengusahakan perniagaan sos cili berperisa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekoran penularan Pandemik COVID-19 bersama dua rakan kongsi dengan menggunakan beberapa bahan utama lain.

Menurut Amirul Shahadam, produk tersebut adalah hasil idea beliau sendiri setelah melihat sos cili di pasaran tidak variasi dan kebanyakan pengusaha menghasilkan sos cili yang lebih kurang sama dan hanya berbeza pada jenama sahaja.

Katanya, bermula daripada idea itulah tercetusnya produk sos cili berjenama Bell yang diusahakan bersama dua rakan kongsinya.

"Tambahan pula, saya sedang menjalankan projek penyelidikan akhir berkaitan pertumbuhan vegetatif pokok cili padi dan melihat belum ada produk sos dan sos pencicah berperisa di pasaran.

"Justeru, saya cuba untuk mempelbagaikan perisa sos dan pada masa yang sama untuk mengekalkan bahan-bahan asas seperti sos yang terdapat di pasaran,” katanya.

Selepas enam bulan berada dalam pasaran, Amirul mengambil peluang dengan menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan Shopee pada tempoh PKP masih lagi berkuatkuasa.

Katanya, dalam tempoh promosi itu produk sos berperisa yang diperkenalkan mendapat respon baik dari pelanggan dan produk sos cilinya telah mencatatkan jualan lebih 4000 botol setiap bulan.

"Selain dijual secara online, produk sos Bell turut dipasarkan secara offline di kedai-kedai runcit di sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Walaupun Amirul Shahadam mengambil jurusan berasaskan pertanian tetapi beliau tidak kekok untuk menceburi bidang perniagaan PKS berikutan peluang menimba ilmu keusahawanan di UMK telah digunakan sebaik-baik mungkin.

Syarikatnya yang berdaftar dengan Syarikat Siswa Universiti (SSU) dibawah seliaan Pusat Pendidikan dan Pembangunan Keusahawanan (CEED) di bawah Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI).

Pada permulaan perniagaan, Amirul pernah memohon Skim Pinjaman Mikro, yang disediakan UMKEI sebagai pembiayaan awal untuk memajukan syarikatnya.

"Saya mendaftar SSU untuk memohon kiosk perniagaan di UMK Kampus Jeli. Dalam tempoh itu perniagaan di UMK, saya menghadiri pelbagai program-program keusahawanan yang dijalankan oleh UMKEI dan bermula dari situ timbul minatnya untuk menceburi bidang keusahawanan secara serius.

"Penglibatannya dalam aktiviti keusahawanan yang dianjurkan oleh UMKEI telah menemukan saya dengan beberapa pensyarah berpengalaman dalam bidang perniagaan seperti Dr. Wan Mohd Nazdrol Wan Mohd Nasir yang merupakan mentor dan pensyarah pembimbing untuk perniagaan sos jenama Bell.

"Saya berharap perniagaan ini dapat pergi lebih jauh dan bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya mengakhiri perbualan.

SUMBER : Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

-BERNAMA