Pelajar Ungku Husin Endau terjatuh dari motosikal sebelum dilanggar lori

RAZIATUL HANUM A RAJAK

MERSING- Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin Endau maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah lori, pada Khamis lalu.

Mangsa, Wan Mustaffar Wan Mohamad, 15, yang sedang menanti keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dipercayai terjatuh dari motosikal yang diboncengnya sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan berhampiran simpang ke Kampung Hubong.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam di KM 04 Jalan Mersing-Endau.

“Kejadian berlaku apabila sebuah motosikal dalam perjalanan dari Kampung Air Tawar ke pekan Endau terlanggar motosikal di hadapannya.

“Keadaan itu menyebabkan motosikal yang melanggar itu hilang kawalan dan pemboncengnya jatuh lalu dilanggar sebuah lori yang datang dari hala berlawanan,” katanya.

Motosikal yang dibonceng mangsa.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Mersing, Inspektor Zulhisyam Aziz berkata, ketika kejadian kawasan terlibat gelap susulan lampu jalan yang tidak berfungsi kerana bekalan elektrik terputus di Endau.

Menurutnya, pemandu lori ikan tiga tan dari Endau ke Batu Pahat, berusia 50-an telah membuat laporan polis berhubung kejadian.

WAN MUSTAFFAR

Sementara ibu mangsa, Junainah Rahim, 40, berkata pada hari kejadian, anak lelakinya keluar dari rumah selepas Maghrib.

Kebiasaannya, Wan Mustaffar akan memaklumkan ibunya setiap kali keluar rumah namun pada hari kejadian, dia tidak memberitahunya apa-apa.

Junainah beberapa kali pengsan di lokasi kejadian selepas melihat keadaan anak sulungnya itu.

Bapa mangsa, Wan Mohamad Wan Abd Rahman, 46, merupakan polis bantuan di Endau sedang bertugas ketika dimaklumkan kejadian menimpa anaknya.