SETIAP manusia di muka bumi pasti berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Ujian yang diturunkan pasti berbeza,  tetapi atas sebab yang sama.

Bersediakah kamu untuk mengharungi salah satu  ujian paling getir dalam hidup? Ujian itu juga salah satu penentuan siapakah  kamu pada masa hadapan khususnya dalam kerjaya kelak.

Jangan sesekali memandang remeh peperiksaan Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM), kerana tanpa keputusan yang baik sukar untuk meneruskan kehidupan.

Kalau anda fikir hendak masuk kursus kemahiran pun, wajib mendapat sekurang-kurang tiga kredit. Jadi untuk membantu anda membuat persediaan, berikut adalah tip persediaan cara bijak untuk menghadapi peperiksaan SPM:

  1. Jaga hubungan dengan ALLAH SWT dan manusia. Waktu pagi kita perlu utamakan baca al-Quran dulu  biar dapat keberkatan dan cari reda ALLAH dan kemudian baru baca buku akademik. Oleh itu, kita mesti mentaati segala suruhan ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya. Seseorang itu berhubung dengan ALLAH melalui solat, maka peliharalah solat dan selalulah bermunajat kepada-Nya. Ada orang yang menjaga hubungannya dengan ALLAH, tetapi abaikan hubungan dengan manusia lain, ini sebenarnya tidak cukup. Dalam surah Al-Hujurat, disebutkan bahawa manusia itu hidup  bersaudara. Kita juga diberikan tanggungjawab dakwah dan ini memerlukan interaksi dengan manusia lain. ALLAH menyuruh kita tolong menolong dalam perkara kebaikan dan tidak  dalam perkara yang tidak baik. 
  2. Hormati guru anda untuk keberkatan ilmu. Ramai ulama Islam terdahulu juga sangat  mementingkan adab dengan guru. Mereka sedar keredaan para guru boleh mempengaruhi kejayaan dalam hidup kerana kedudukan guru sangat tinggi sehingga setiap ucapannya menjadi doa. Bagi seorang pelajar, keberkatan ilmu sangat perlu dititikberatkan. Malah, cikgu-cikgu juga sering berpesan tentang keberkatan.

    • “Jangan kurang ajar dengan guru-guru, tak berkat ilmu kamu.”

    • ”Jangan ponteng kelas, hilang berkat.”

    • “Jangan meniru, mengumpat cikgu di belakang dan riak kalau dah pandai.

  3. Kekerapan Latih Tubi. Bukan latih tubi senaman, tetapi latih tubi soalan-soalan peperiksaan yang terdahulu, soalan percubaan semua negeri dan soalan-soalan  yang menjadi ramalan pakar penggubal soalan. Anda tentu sudah sedia maklum bahawa soalan peperiksaan akan sentiasa berulang selama tempoh lima tahun. Jadi tidak perlu bersusah payah meramal soalan itu dan ini, rujuk terus soalan peperiksaan yang terdahulu sahaja. Mudah sahaja untuk skor bukan? Fokuskan subjek merit dan subjek lemah. Kenapa perlu berikan keutamaan? Semua anda mengharapkan untuk masuk ke universiti dan mencapai cita-cita anda bukan? Untuk masuk ke universiti pelajar perlu bersaing dengan pelajar yang lain untuk merebut kuota tempat yang diletakkan.
  4. Buat nota ringkas. Nota ringkas bukan nota panjang. Nota ringkas ini penting supaya anda tidak terlupa 'point' penting. Maklumlah, apabila banyak menggunakan otak selalunya benda yang mudah pun akan lupa. Contoh, pernahkah anda mengalami keadaan di  mana lupa perkataan ayam dalam bahasa Inggeris? Atau apa sahaja perkataan yang mudah. Sekuat mana anda cuba mengingati perkara tersebut tetap  gagal. Pernah hadapi? Begitulah juga otak kita. Kadang-kadang gagal berfungsi dengan baik. Sebab itu, buatlah nota ringkas dengan hanya memasukkan 'point-point' penting sahaja. 

Ingatlah, walaupun peperiksaan bertujuan untuk menguji penguasaan seseorang terhadap pelbagai disiplin ilmu mengikut aras yang diajarkan.

Peperiksaan juga bukanlah semata-mata tempat untuk merangkul kejayaan yang bersifat sementara.

Sebaliknya ia harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan positif.

Selain daripada mendorong kita untuk menguasai lebih  banyak ilmu dan kemahiran dan menterjemahkan kedua-duanya menerusi budi dan bakti kepada watan, peperiksaan seharusnya menunjukkan kepada kita jalan yang seterusnya untuk mencapai kejayaan yang lebih abadi dan sempurna. Itulah kejayaan ukhrawi di samping kejayaan duniawi.

Pesanan saya, semangat perjuangan inilah yang seharusnya dipupuk dalam  minda dan sanubari kita semua. Hanya dengan semangat perjuangan inilah, kita  mampu merangkul keunggulan yang berganda.

Kelak tidak setakat diraikan oleh orang yang menciptanya, tetapi dirasai oleh orang-orang yang turut serta menyumbang ke arahnya dan diredai oleh Yang Maha Kurnia.

JASH JAFRI

Guru Pendidikan Islam SMK Taman Sutera, Johor Bahru

Artikel Menarik:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Lapan tip otak sihat, untuk jadi lebih bijak dan pandai

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau