BAGI Keselamatan Murid, Guru dan Warga Sekolah…

Pentadbir bertanggungjawab:

1) Merujuk Standard Operating Procedure (SOP) Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikeluarkan oleh KPM pada 13 Mac 2020;

2) Memastikan murid, guru dan warga sekolah berada dalam keadaan sihat untuk hadir ke sekolah. Pemakluman awal perlu diberikan kepada mereka sebelum sekolah dibuka semula;

3) Memastikan saringan demam serta gejala batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas dilakukan terhadap murid, guru dan warga sekolah pada setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. Jika mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan ini di dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah sempit atau berhampiran dengan jalan utama. Hal ini adalah bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial;

4) Memastikan masa senggang diperuntukkan bagi pengambilan suhu badan murid yang berjalan kaki/berbasikal ke sekolah;

5) Melantik guru bertugas untuk:

  • mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan pulang;
  • memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengimbas suhu badan; dan
  • mengawal pergerakan murid semasa rehat.

6) Memastikan murid, guru dan warga sekolah sentiasa mematuhi penjarakan sosial pada setiap masa dengan pengawasan guru;

7) Memastikan hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan dibuat melalui siar raya pada waktu pagi, waktu rehat dan sebelum tamat sesi persekolahan setiap hari. Peringatan secara berterusan dilaksanakan semasa PdP;

8) Memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun. Sekiranya tiada air dan sabun, pensanitasi tangan (hand sanitizer) boleh digunakan;

9) Memastikan guru atau pembantu pengurusan murid membantu MBK yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti gambar rajah timbul dan peralatan khas mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan (hand sanitizer);

10) Memastikan kedudukan murid dijarakkan dengan selang satu tempat duduk apabila mereka menaiki kenderaan sekolah seperti bas/van/coaster;

11) Mengingatkan murid untuk mematuhi dan menggunakan laluan pergerakan yang disediakan.

12) Membekalkan pelitup muka kepada murid yang bergejala dan mereka diasingkan di bilik kesihatan/sakit sementara menunggu ibu bapa/penjaga membawa mereka pulang.

13) Memastikan murid yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah sentiasa memakai pelitup muka.

14) Memastikan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan norma baharu di sekolah;

15) Memberikan taklimat keselamatan kepada kontraktor pembersihan, pengusaha kantin dan pembekal perkhidmatan makanan bermasak di asrama serta membuat penegasan supaya sentiasa mengingatkan pekerja mereka mengenai perkara berikut:

  • mengimbas suhu badan mereka setiap hari sebelum memulakan tugas;
  • tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah jika bergejala;
  • mematuhi arahan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan prosedur keselamatan yang lain; dan
  • mengamalkan hand hygiene (memadai mencuci tangan dengan air bersih dan sabun).

16) Memastikan tindakan berikut diambil sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah yang disahkan oleh PKD:

  • mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD;
  • memberikan kerjasama kepada anggota PKD; dan
  • mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.

Artikel berkaitan:

Pelaksanaan : Pengurusan Prasarana

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga