KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merangka Pelan Tindakan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) meliputi peringkat prasekolah hingga ke tahap tertiari (pendidikan selepas pendidikan menengah hingga ke peringkat pendidikan tinggi) bagi menyediakan tenaga kerja berliterasi STEM.

Menurut Kementerian Pendidikan, pelan yang dijangka dilaksana tahun hadapan itu berupaya membantu murid berfikiran analitikal, kreatif dan inovatif seiring dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Pelan ini telah dibentangkan pada peringkat pengurusan tertinggi kementerian dan sedang dimurnikan untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan pelan itu dilaksanakan mulai tahun 2020.

"Ia memberi penekanan terhadap peningkatan minat murid dalam mata pelajaran berkaitan STEM, pemantapan kemahiran guru STEM dan penambahan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang kepentingan pendidikan STEM,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) berhubung usaha membentuk polisi komprehensif berteraskan teknologi untuk diserapkan di semua sekolah seluruh negara sebagai usaha melahirkan tenaga kerja seiring perkembangan era digital dan IR 4.0. - Bernama

Artikel Menarik:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Lapan tip otak sihat, untuk jadi lebih bijak dan pandai

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau