SMK Agama Kedah antara sekolah rintis dalam melaksanakan sukatan pelajaran peperiksaan Tahfiz Al-Quran (932) di peringkat STPM.

Tahfiz Al-Quran merupakan satu mata pelajaran yang menyepadukan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Sukatan pelajaran peperiksaan tersebut memberikan pendedahan kepada calon tentang ilmu pengajian Al-Quran yang meliputi tajuk Hifz Al-Quran, Maharat al-Qiraat, Maharat al-Rasm, Dhabt Al-Quran, al-Fawasil, dan Maharat Ulum Al-Quran.

Selain itu, sukatan pelajaran peperiksaan tersebut  juga memberikan penekanan kepada aspek kemahiran menulis, kemahiran mencari dan menganalisis maklumat, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, serta kemahiran berkomunikasi secara berkesan dalam kalangan calon.

Pelajar  semester dua, Tahfiz STPM, Nuwairah Mohd Naser (kanan) dan Nik Aina Nazifa  Zahari ( kiri) menunjukkan teknik memahami kaedah Qiraat berdasarkan kalimah

Menurut Guru Cemerlang Hifz Al-Quran, Ustaz Badrulhanif Sulaiman, kandungan sukatan Pengajian al-Quran yang disediakan dapat membantu calon menerokai ilmu berkaitan Al-Quran sekali gus melahirkan huffaz mutadayyin professional yang melengkapi aspek quranik, ijtihadik, dan ensiklopedik.

“Ia bertujuan untuk melahirkan calon yang mantap hafazan, mahir dalam ilmu berkaitan dengan Al-Quran, dan cemerlang akhlak. Serta menyediakan calon untuk pendidikan peringkat yang lebih tinggi seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan diri, masyarakat dan Negara,”katanya.

Tambah beliau, pada tahun ini, permohonan hanya akan dibuat secara dalam talian dengan melayari laman sesawang http://appsjwpp.moe.gov.my/smkat6tahfiz/ mulai 10 Mac 2020.

Belajar dalam kumpulan  dengan kaedah PAK21 dapat membantu pelajar mudah mengingat subjek yang diajar

Beliau yang juga Ketua Unit Tahfiz, Tingkatan 6 SMK Agama Kedah berkata, pengambilan Mei 2020 akan mula diperluaskan.

Selain SMK Agama Kedah, calon juga bebas memilih untuk menyambung pengajian di mana-mana pusat Tingkatan 6 seperti di  SMK Agama Putrajaya, Putrajaya, SMK Agama Kerian, Perak, SMK Agama Maahad Muar, Muar, SMK Agama Tok Bachok, Kelantan, dan SM Imtiyaz Yayasan Terangganu Kemaman, Terangganu.

Ditanya tentang syarat kemasukan, guru asal Kedah ini berkata, calon yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang tahfiz al-Quran haruslah mempunyai kepujian, atau sekurang-kurangnya C  Hifz dan Maharat, selain  sudah menghafaz sekurang-kurangnya tujuh juzuk al-Quran.

 

Syarat Permohonan

i-Terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur tidak kurang 17 tahun dan tidak melebihi 20 tahun pada tahun permohonan semasa;

ii-Lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

iii-Memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Hifz al-Quran / Maharat al-Quran sekurang-kurangnya gred C; atau

iv-Pelajar memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah /  Pendidikan al-Quran dan Sunnah / Pendidikan Islam / Usul al-Din / Al-Syariah / Al-Lughah al-’Arabiah al-Mu’asirah / Manahij al-’Ulum alIslamiah / Al-Adab wa al-Balaghah sekurang-kurangnya gred C dan telah menghafaz sekurang-kurangnya tujuh juzuk

v-Pelajar Tahfiz Swasta dan mengikuti program tamaiyuz memproleh kepujian dalam mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah / Pendidikan al-Quran dan Sunnah / Pendidikan Islam / Usul al-Din / Al-Syariah / Al-Lughah al-’Arabiah al-Mu’asirah / Manahij al-’Ulum AlIslamiah / A-Adab wa al-Balaghah sekurang-kurangnya gred C serta telah menghafaz tujuh juzuk; dan

vi-Bersetuju mengikuti program sehingga tamat semester tiga.

 

Reaksi

“Yang paling menarik, saya dapat mempelajari serta menguasai cabang Ilmu Al-Quran, seperti maharat al-Qiraat, Dhabt Al-Quran, al-Fawasil dan lain-lain,” Amirah Nasihah Wisam, Pelajar Tahfiz STPM, Semester 2, SMK Agama Kedah.

“Sebelum ini, saya hanya tahu menghafaz Al-Quran. namun kini saya dapat mengkaji tentang asal usul Al-Quran dengan lebih mendalam selain dapat memperbaiki kualiti bacaan serta hafazan,”Ahmad A’bid  Jamri, Pelajar Tahfiz STPM, Semester 2, SMK Agama Kedah.

“STPM Tahfiz adalah ruang dan peluang terbaik kepada pelajar tahfiz untuk meningkatkan pendidikan diri ke tahap yang lebih tinggi,”Muhammad Afif Farihi Abd Rahim, Pelajar Tahfiz STPM, Semester 2, SMK Agama Kedah.

“Inilah peluang terbaik untuk saya muraja’ah serta menjaga hafazan disamping menyambung pengajian akademik di peringkat seterusnya,”Alya Saadah Anuar Sadad, Pelajar Tahfiz STPM, Semester 2, SMK Agama Kedah.

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih