Susulan pengumuman berkenaan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, Guru Matematik Sekolah Kebangsaan Seri Suria Tmn Tan Yew Lai Kuala Lumpur, Cikgu Muhammad Rauf Fathi Hamid Latif tampil memberi pandangannya tersendiri.

Kiriman menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan GPS Bestari sebentar tadi, sangat menarik perhatian untuk dikongsi dengan semua.

Ikuti apa kata Cikgu Muhammad Rauf yang juga Tenaga Pengajar Utama Pembelajaran Matematik Secara Inkuiri Pusat STEM Negara ini.

1) Melalui sidang media Menteri Kanan Pendidikan pada 28 April lalu, secara asasnya sekolah akan menjalankan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) buat murid-murid.

2) Di dalam PBS terkandungnya beberapa elemen Pentaksiran, antaranya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

3) Melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), anak-anak dinilai sepanjang tahun. Ia bukan bersifat peperiksaan. Anak-anak dinilai melalui kuiz, pemerhatian guru, lisan (pembentangan), pelaksanaan projek dan pelbagai lagi instrumen pentaksiran lain.

4) Murid akan diberikan Tahap Penguasaan (TP 1 hingga TP 6) terhadap pentaksiran yang dijalankan.

5) Mudah fahamnya begini, murid yang menguasai kandungan pembelajaran (content knowledge) akan diberikan TP6, manakala murid sederhana TP5 & TP4, murid yang kurang ataupun tidak menguasai diberikan TP3, TP2 dan TP1.

6) Bagi PAJSK, sudah pastilah penglibatan murid-murid di dalam aktiviti Sukan & Kokurikulum diambil kira.

7) Ini merupakan cabaran besar apabila tidak banyak aktiviti Sukan & Kokurikulum yang berlangsung sepanjang tempoh pelaksanaan PKP & PKPB era Covid-19. Kalau adapun ia bersifat atas talian (online).

8) Ujian Psikometrik (PPsi) pula menguji murid dari aspek daya fikir, kecenderungan emosi dan kemahiran sosial murid.

9) Secara umumnya, murid-murid yang menguasai ketiga-tiga elemen Pentaksiran inilah yang boleh dikategorikan sebagai murid cemerlang kerana penilaian yang dijalankan bersifat holistik.

10) Sebagai kesimpulan, Kita perlu mempunyai sisi pandang berbeza dengan pemansuhan UPSR ini. Murid-murid perlu dilengkapkan keupayaan mereka seoptimum mungkin.

11) Mansuh UPSR bukan bererti tak perlu belajar, sebaliknya perlu dilipat gandakan. Tingkatkan keupayaan murid dalam aspek penguasaan kandungan pembelajaran (content knowledge), sertai aktiviti Sukan & Kokurikulum dan tingkatkan kemahiran sosial.

Artikel menarik

Pentaksiran disifatkan pendekatan terbaik, bantu perkembangan murid secara holistik - Pakar

'KPM, mohon beri perhatian khas kepada calon SPM dan STPM 2021' - Rayu Cikgu Pe Chey!