PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan personel yang telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972, WAJIB mematuhi setiap prosedur penjaminan kualiti termasuk memastikan keselamatan kertas soalan.

Kementerian itu turut menjelaskan, kertas soalan PT3 adalah dokumen terperingkat TERHAD. Maka, semua personel pentadbiran dan pentaksiran adalah bertanggungjawab terhadap kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan PT3.

“Adalah sewajarnya kertas soalan dan panduan penskoran PT3 itu disimpan di bilik berkunci di dalam almari besi berkunci di sekolah. Bagi memastikan kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan, pergerakan kertas soalan dan panduan penskoran MESTI direkodkan,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, KPM menyarankan agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan maklumat rasmi daripada KPM.

Jika didapati dakwaan ini benar, maka pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hendaklah menjalankan siasatan. Memandangkan kertas soalan PT3 adalah dokumen terperingkat TERHAD, individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran kertas soalan boleh diambil tindakan.

Kenyataan itu adalah bagi menjelaskan dakwaan yang menyatakan bahawa beberapa kertas soalan PT3 yang terdiri daripada beberapa mata pelajaran telah diperoleh awal oleh calon.

Menurut kementerian itu, berdasarkan prosedur operasi standard PT3, tanggungjawab memuat turun dan mencetak kertas soalan merupakan tanggungjawab Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran dan Setiausaha PT3 di sekolah masing-masing.

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) merupakan komponen Pentaksiran Pusat (PP) di peringkat menengah rendah yang dilaksanakan secara perkongsian akauntabiliti antara Lembaga Peperiksaan (LP) dan pihak sekolah. LP berperanan sebagai penyedia kertas soalan dan menetapkan format pelaporan.

Manakala peranan sekolah adalah mentadbir PT3 yang merangkumi penerimaan kertas soalan daripada LP, menetak, melaksanakan pentaksiran, memeriksa kertas jawapan, mencetak dan mengeluarkan pelaporan serta melaksanakan penjaminan kualiti seperti yang terkandung dalam Buku Panduan Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3, 2019.