KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat mulai 15 Julai ini selepas mengenal pasti pembelajaran secara bersemuka adalah lebih berkesan berbanding pembelajaran secara atas talian di rumah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, sebelum ini kementerian melaksanakan pembelajaran secara online di rumah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun demikian, menurutnya, kementerian mendapati akses kepada teknologi komunikasi bagi tujuan tersebut adalah terhad.

“Kaji selidik yang kita laksanakan, antara tiga hingga ke 10 peratus pelajar sahaja yang mempunyai peralatan seperti komputer, notebook atau tablet.

“Rata-rata mereka mempunyai akses kepada telefon bimbit iaitu antara 34 hingga 48 peratus tapi semua itu bergantung pada kawasan bandar atau di luar bandar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Habibah menjelaskan, pembelajaran secara online di rumah mempunyai kelemahan dan sukar untuk melihat keberkesanan ke atas murid.

“Pembelajaran secara bersemuka adalah lebih berkesan kerana guru boleh memberi bantuan terus kepada murid.

“Maka kementerian perlulah mengambil kira pelbagai faktor bagaimana kita boleh membawa murid ke sekolah dan guru boleh bersemuka dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Kita banyak melakukan libat urus dengan pelbagai pihak dengan mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dr Habibah Abdul Rahim. FOTO: ROSLI TALIB

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang keputusan pembukaan sekolah melibaturuskan pelbagai pihak termasuk majlis pengetua dan guru besar, persatuan ibu bapa dan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kesatuan guru, pengusaha sekolah swasta serta antarabangsa.

Menurutnya, masing-masing memberikan maklum balas mengenai kepentingan pembukaan sekolah dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan murid.

“Antara pertimbangan kita ketika membuka prasekolah dahulu adalah kerana pertama, taska telah pun dibuka. Selain membantu dari segi ekonomi, kita lihat rata-rata pelbagai sektor sudah dibuka, jadi ibu bapa perlu bekerja.

“Kita nak membantu ibu bapa yang bekerja. Untuk prasekolah, garis panduan dari segi penyediaan prasekolah itu ialah maksimum 25 orang murid bagi satu kelas, jadi bilangan itu agak kecil.

“Melihat dari segi aspek pembelajaran pula, untuk melaksanakan pembelajaran di rumah lagi mencabar,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian pembukaan prasekolah, beliau berkata, murid-murid dapat mengikut tanda arah yang disediakan dalam menjaga penjarakan sosial.Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai tiga model pembukaan penuh sekolah iaitu Model Pertama untuk satu sesi, Model Kedua bagi dua sesi dan Model Ketiga, penggiliran.

Ujarnya, bagi sekolah yang mempunyai kapasiti atau ruang yang mencukupi untuk satu sesi atau dua sesi, pihak sekolah menggunakan secara maksimum ruang dalam bilik darjah.

Enrolmen

“Secara puratanya mengikut keluasan bilik darjah dengan penjarakan sosial satu meter, jumlah maksimum boleh memuatkan antara 25 hingga 30 murid.

“Masalahnya ialah bila kita lihat sekolah-sekolah yang memang memiliki enrolmen yang besar dan padat pula bagi setiap kelas. Jadi mungkin guru boleh gunakan pada waktu petang secara bergilir mengikut tingkatan.

“Tapi boleh juga guna ruang yang lebih besar, contohnya dewan atau bilik kuliah. Jika ruang tersebut, dengan penjarakan satu meter, boleh memuatkan dua atau tiga kelas maka pengajaran boleh dibuat secara beramai-ramai dengan seorang guru atau dua guru mengajar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keresahan ibu bapa untuk menghantar anak kembali ke sekolah, Dr Habibah mengakui sememangnya ada dalam kalangan ibu bapa yang berkemungkinan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Itu kita tidak memaksa. Tapi kita amat berharap ibu bapa memahami yang kita telah pun mengambil pelbagai langkah di sekolah.

 “Indikator yang kita gunakan berasaskan tanda-tanda seperti suhu badan 37.5 darjah Celsius ke atas murid tak sihat. Murid (yang mempunyai suhu badan tinggi) tidak dibenarkan masuk ke sekolah dan ibu bapa perlu bawa mereka untuk mendapatkan rawatan.

“Jika tiada tanda-tanda, itu sukar untuk kita nak tentukan tetapi kita telah pun ambil langkah keselamatan yang disarankan KKM,” katanya.

Selepas 52 hari sekolah di Malaysia ditutup akibat pandemik Covid-19, kini para pelajar akan kembali ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka berbanding kaedah pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Pendidikan mengumumkan pembukaan penuh sekolah secara berperingkat bermula 15 Julai ini dengan mengambil langkah menjaga keselamatan dan kebersihan ketika murid berada di sekolah bagi mengelak penularan Covid-19.

Isu itu dikupas dalam program Bicara Minda Sinar Harian bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam yang menampilkan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sebagai moderator.         

Artikel berkaitan:

Kerajaan prihatin keperluan sekolah