Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru guru-guru agar mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning, sebagai kebiasaan baharu dalam bidang perguruan.

Katanya lagi, pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan. Justeru, proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu melalui Perutusan Khas Sempena Hari Guru yang disiarkan secara langsung sebelum ini.

“Penularan wabak COVID-19 telah banyak mengubah amalan pendidikan di negara kita. Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dijalankan secara bersemuka. Sebaliknya, guru menggunakan pelbagai kaedah lain untuk berhubung dengan pelajar.

“Ramai yang menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Classroom, cikgooTUBE dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah atau homebased learning. Tidak kurang juga cikgu yang menggunakan WhatsApp dan Telegram,”katanya.

Beliau turut menyedari masih ada kekangan dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian di rumah, kerana tidak semua murid mempunyai akses internet yang baik.

Untuk itu, pelbagai kaedah telah pun dilakukan oleh guru-guru, antaranya, dengan mencetak soalan kerja rumah murid dan bekerjasama dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) bagi menghantar soalan ke rumah murid.

“Saya diberitahu, ada juga cikgu yang menyampaikan latihan sukan secara online. Saya amat terharu dan sangat menghargai kesungguhan para guru dan ibu-bapa kita,”jelas beliau.

Beliau turut percaya ramai yang tertanya-tanya bilakah sekolah akan kembali dibuka selepas hampir dua bulan ditutup untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, sepertimana diumumkan Menteri Kanan merangkap Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini, tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka selain turut bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini untuk memastikan SOP (prosedur operasi standard) mengenai jarak sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi. SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain,” katanya.

Artikel berkaitan:

Cikgu McNor ajar empat langkah mudah buat sendiri cecair basmi kuman dengan kos hanya RM22 untuk satu liter

Sekolah perlu rancang SOP sendiri, pastikan pelajar patuh jarak sosial

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Demi cikgu, murid sanggup jual tin untuk beli kek hari lahir

'Cikgu Aminah bagai ibu kami, bila dia sakit giliran kami pula berbakti'