PASIR GUDANG - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia yang dilaporkan menghidap penyakit Myokimia kesan daripada pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu, Irfan Wafiy Idham Wazir hadir ke sekolah dengan bertongkat untuk menduduki kertas pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

Irfan yang ditemani ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, tiba di sekolah jam 7 pagi.

Dia kelihatan tenang menuju ke dalam sekolah.

Menurut Norlela, anak lelakinya itu memang sering mengadu keletihan akibat kakinya yang kerap menggeletar selepas menjalani terapi.

“Lepas buat terapi bulan Julai lalu, dia selalu cakap ‘penat mama, kaki ni asyik bergegar’. Kadangkala kalau dia penat berjalan, kaki menggeletar sampai ke bahagian pinggang.

“Sejak itu dia tak kuat nak jalan sendiri, jadi saya rasa dia kena ada sokongan sebab itu dia pakai tongkat sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di SK Bukit Dahlia semalam.

Katanya, sebagai persiapan akhir sebelum menghadapi UPSR, Irfan turut mengikuti kelas tambahan yang diadakan di sekolah selain tuisyen pada waktu malam.

Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Dahlia, Mohd Isnin Kassim berkata, sebagai salah sebuah sekolah yang tersenarai dalam kawasan panas pencemaran, beliau akui semua pihak telah bersedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang UPSR berlangsung.

“Kita memang sudah bersedia malah kita ada prosedur operasi standard(SOP) sendiri. Untuk kes berulang, kita ada sediakan bilik kesihatan di bawah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nota mudah Paksi Simetri - Calon UPSR boleh cuba hafal, mana tahu keluar soalan ini keluar Selasa ini

Calon UPSR diingatkan jaga kesihatan - Pengarah Pendidikan

'Saya dapati ibu bapa lebih cemas, jangan terlalu menekan anak' - Nasihat Dr Maszlee

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Bapa ini kongsi 26 tip dan petua anak perleh 6A dalam UPSR