LABUAN - Seorang pengawas tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini membuat laporan polis selepas mendakwa dia dibelasah empat pelajar tingkatan 5 berhampiran dewan asrama sekolah pada Khamis lepas.

Mangsa, 16, berkata, ketika dia sedang berjalan seorang diri di kawasan lapang dalam kawasan pekarangan sekolah pada 5.47 petang, tiba-tiba dia didatangi empat pelajar tingkatan 5.

Mangsa mendakwa, mula-mula dia diserang oleh seorang pelajar dan kemudian diikuti pelajar lain, dan ketika kejadian itu yang berlaku kira-kira 15 minit tiada pelajar atau guru di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa patah jari akibat cuba mempertahankan dirinya selain kesan benjol di kepala, calar di bahagian leher dan sakit di bahagian tangan dan kaki.

Muhamad Farid berkata, mangsa yang merupakan pengawas sekolah, mendakwa dia dipukul selepas membuat aduan kepada guru disiplin bahawa pelajar senior berkenaan merokok di kawasan sekolah.

Beliau berkata, guru sekolah itu telah menyerahkan kesemua pelajar itu pada 12 Oktober lalu dan pelajar berkenaan direman empat hari.

Kesemua pelajar terbabit akan dibebaskan hari ini atas jaminan polis dan akan dipantau sementara menunggu arahan daripada pejabat timbalan pendakwa raya. - Bernama