Sepanjang tempoh 28 tahun menjadi pendidik, pengalaman menjadi pesakit positif covid 19 amat sukar dilupakan. Menambah kepiluan apabila saya turut dikesan mengidap Chronic Myeloid Lukimea(CML) sejenis kanser darah, selain penyakit ghout yang dihidapi sejak tujuh tahun lalu. Namun ia, sedikitpun tidak mematahkan semangat saya sebagai seorang pendidik, perjuangan ini harus diteruskan...

Sebagai  bekas pesakit Covid-19, saya dapat merasai tahap kebimbangan warga pendidik terhadap pendemik Covid-19 yang belum menunjukkan tanda akan pulih sepenuhnya.

Nasihat saya... janganlah patah semangat dan cepat mengalah ketika berdepan dengan situasi yang cukup mencabar ini. Sokongan moral dan pengharapan yang tinggi dari warga pendidik dan komuniti lain juga akan dapat meruntuhkan tembok kelesuan.

Saya percaya, potensi pesakit untuk pulih juga sangat tinggi jika kita saling bermotivasi ketika melawan virus Corona ini.Usah biarkan diri kita murung dan dan tertekan sebaliknya teruslah mematuhi SOP yang dianjurkan oleh KKM. 

Saling berkomunikasi dengan ahli keluarga dan Komuniti melalui media sosial juga secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan dan perasaan cemas.

Itulah perkongsian dan juga nasihat yang dilontarkan oleh Pengetua Cemerlang SMK Seri Machap, Simpang Renggam Johor, Cikgu Tumin Yatman buat semua warga pendidik.

Beliau tinggal di Bandar Baru Ibrahim Majid, sebuah penempatan yang cukup terkenal kerana di situlah Fasa PKPD pertama diwartakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak corona virus.

Bermula daripada beberapa orang penduduk yang terlibat dengan kluster Sri Petaling, akhirnya mula menular dengan pantas tanpa disedari.

Cikgu Tumin turut tidak terkecuali… beliau bukan sahaja diuji dengan virus Covid-19, bahkan turut menghidap kanser darah!

Ikuti perkongsian Cikgu Tumin Yatman ini…

Tiada siapa yang mahupun kesakitan… namun inilah ujian yang terpaksa saya tempuhi, dan saya reda dengan segala ketentuannya.

Bermula dengan sakit kaki, tidak boleh tidur dan hilang selera makan membawa saya ke hospital pakar yang berhampiran.

Saya tidak boleh berdiam diri, selagi tidak mengetahui apakah masalah sebenar yang saya sedang hadapi.

Hasil dari pemeriksaan darah, doktor mengesyaki saya menghidap sejenis kanser darah.

Tanggal 17 Mac 2020, saya dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.

Ketika itu, ujian darah diambil sekali lagi, dan doktor  memaklumkan bahawa simptom kanser mula ketara. Untuk rawatan lanjut, saya perlu meneruskan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pada 23 Mac 2020, saya terpaksa menjalani pembedahan kecil bone marrow, untuk mendapatkan sum sum tulang. Ia bertujuan untuk memastikan rawatan selanjutnya yang bakal saya lalui.

Belum pun setengah hari di hospital tersebut, kakitangan hospital telah mengecam bahawa alamat tempat tinggal saya termasuk dalam zon merah Covid-19!

Disebabkan itu, saya terpaksa diisolasi dan ujian Covid19 dilakukan. Akhirnya... pagi 25 Mac 2020 doktor mengesahkan saya positive Covid19!

Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya, bukan satu… tetapi dua penyakit dalam satu masa. Namun, sebagai hamba-Nya saya perlu kuatkan semangat dan laluinya dengan sabar.

Kemudian saya dibawa kembali ke Hospital Kluang, memandangkan hospital tersebut telahpun menjadi hospital Covid 19.

Dengan perasaan yang bercampur baur saya terpaksa  dimasukkan ke wad pesakit Covid19 pula.

Alangkah terkejutnya, hospital itu telah dihuni oleh sebahagian besar orang-orang kampung, termasuk jiran tetangga saya!

Lebih pilu, doktor dan jururawat yang pernah merawat saya di sini sebelum ini juga turut dipindahkan ke Johor Bahru setelah dikuarantin dan ada yang positif.

Ini bermakna saya telah dijangkiti Covid 19 dan kanser serentak pada tarikh awal saya mendapatkan rawatan di hospital!

Hari demi hari tubuh saya menjadi lemah kerana kekurangan darah merah. Selera makan juga hilang dan saya ditempatkan di zon merah.

Apa yang lebih menyayat hati sepanjang dirawat dan dikuarantin, empat orang jiran tetangga saya telah meninggal dunia kerana Covid 19.

Mujurlah isteri dan anak-anak saya terselamat dari jangkitan wabak.

Suasana kampung juga semakin sunyi dengan perintah PKPD. Saya dan anak isteri hanya dapat berhubung melalui telefon sahaja.

Mereka cukup bimbang, semakin ramai penduduk dijangkiti wabak covid19 dan dibawa ke hospital.

Ketika di hospital, Doktor ada menyatakan, tiada ubat untuk penyakit Covid-19. Pesakit perlu kuatkan semangat dan positif untuk pulih.

Begitu juga dengan kanser, kekuatan diri dan azam untuk pulih perlu ada.

Rezeki menyebelahi saya, tanggal 6 April 2020, saya dibenarkan balik setelah 21 hari dirawat dan dikuarantin, setelah ujian saringan ke dua adalah negatif.

Itulah hadiah hari jadi yang bermakna buat saya! Saya diminta untuk kuarantin di rumah selama dua minggu lagi dan disaring buat kaki ke tiga. Alhamdulillah, keputusan adalah negatif.

Selepas itu, saya terus mendapatkan rawatan leukimia di HSA Johor Bahru.  Dr sahkan, ia masih di peringkat awal dan dibenarkan untuk bertugas di samping rawatan berkala.

24 Jun lalu, adalah hari yang menggembirakan kerana dapat kembali ke sekolah dan bertemu dengan warga pendidik dan anak-anak pelajar.

Peristiwa ini ibarat mati hidup semula! Saya bersyukur kerana tiada guru dan murid yang terlibat dalam wabak Covid-19. Biarlah dirinya selaku pengetua memahatkan sejarah diri demi kesejahteraan warga sekolah.