Pentadbir sekolah adalah pemimpin yang bertanggungjawab mengatur strategi kejayaan bagi sesebuah sekolah, dengan sokongan semua pihak termasuk guru, kakitangan sokongan, pelajar, dan juga Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Selain memainkan peranan penting sebagai pentadbir, pengurus dan juga pemimpin, pengetua mahupun guru besar itu haruslah berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.

Menjalinkan kerjasama erat dan saling menyokong di antara guru-guru pimpinannya bagi memastikan objektif sebenar sekolah tercapai.

Disebabkan itulah seseorang pentadbir itu perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada kakitangan sokongan bawahannya.

Mempunyai aura positif, berakhlak baik, disenangi ramai, berbudi pekerti, berwawasan, dan juga mempunyai gaya kepimpinan yang benar-benar meyakinkan.

Berdasarkan ‘Stoll dan Fink (1996)’ dalam bukunya ‘Changing our schools’, kepemimpinan berkesan itu adalah penentu dalam menggerakkan perubahan yang positif di sekolah atau dalam sistem persekolahan.

Disebabkan itulah, seseorang pentadbir itu perlu memainkan peranan besar dalam merangsang iklim sekolah yang positif.

Bukan sahaja sentiasa memberikan kata semangat dan sokongan kepada orang bawahan, tetapi juga mempengaruhi orang lain untuk terus cemerlang.

Walau bagaimanapun, objektif untuk melahirkan seorang pemimpin yang cemerlang, berwibawa, dihormati dan berkarisma akan gagal, sekiranya dalam diri seseorang itu ada tersimpan sifat-sifat mazmumah yang merugikan.

Hakikatnya, seorang pemimpin yang inginkan dirinya dihormati orang bawahan dan dipandang mulia di sisi ALLAH SWT, haruslah berusaha membersihkan hati dan menyingkirkan sifat-sifat tercela.

Seperti hasad dengki, iri hati, cemburu, bersangka buruk, menjatuhkan orang lain, memulau, menyindir dan sebagainya, sebab sikap negatif itulah halangan terbesar untuk membina kecemerlangan guru, murid dan sekolah.

Daya saing yang baik adalah dengan saling menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain, bukannya menyimpan rasa cemburu, kurang senang, iri hati, menindas dan menghalang orang lain untuk berjaya.

Apatah lagi terus-terusan mematahkan semangat dengan kata-kata sindiran, seolah-olah peluang menonjolkan diri dan berjaya itu hanya hak mutlak pemimpin itu semata.

Namun inilah resam dunia, tidak kira tua mahupun muda, miskin atau kaya, berjawatan ataupun tidak, apabila timbul bisikan di hati, yang manis tetap akan nampak pahit di mata.

Padahal, seseorang itu harus bersyukur apabila mempunyai kakitangannya yang cemerlang, kreatif dan rajin, bukannya menyimpan rasa cemburu dan kurang senang.

Kasihan pada guru yang rasa diri mereka diketepikan dan dijatuhkan dengan kata-kata yang menghiris. Usaha mereka hanya untuk memandaikan anak bangsa dan naikkan nama sekolah, bukannya dihadap dengan tindakan tak berasas atas kejayaan yang cuba dibina.

Guru bukanlah golongan yang dahagakan pujian, tetapi mereka perlukan kata-kata rangsangan untuk meningkatkan profesionalisma dan produktiviti dalam kerjaya.

Justeru, ingatlah… ALLAH SWT telah mengangkat darjat seseorang itu menerusi pangkat dan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Maka buanglah sifat ego dan ‘akulah yang bijak’ kerana jawatan itu akan dihisab oleh ALLAH SWT kelak di hari akhirat.

Jadilah seorang pemimpin yang efektif dan bersedia memikul tanggungjawab dengan penuh jujur, adil dan saksama, serta dapat memimpin kakitangan bawahannya ke arah mencapai visi dan misi sekolah juga negara.

Artikel Menarik:

Cikgu ini beri pesanan kepada ibu bapa murid sekolah sesi petang

'Saya terima amanah dengan penuh keinsafan, berilah saya ruang lakukan terbaik' - Dr Mohd Radzi

 

Tip Lain:

Guru Cemerlang Tahfiz kongsi kaedah DTHT untuk hafaz al-Quran dengan mudah

Teknik Putaran Waktu bantu murid memahami kepentingan ‘masa’ - Ustaz Quszaini

Skor A semua subjek UPSR daripada sekarang - Cikgu Ahmad Safarman kongsi enam tip mudah

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR