KUALA LUMPUR - Pengenalan tulisan khat dalam Bahasa Melayu untuk sekolah Jenis Kebangsaan Tahun Empat pada tahun hadapan adalah hasil pengkonsepsian Kurikulum sekolah Rendah pada tahun 2014.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata ia juga telah melalui pemetaan kurikulum merangkumi pembinaan kurikulum Tahap 1 pada 2015 dan pembinaan kurikulum Tahap 2 pada 2016-2017.

"Ini bermakna, penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) melibatkan pengenalan tulisan khat ini telah mengambil masa sejak tahun 2014 lagi.

"Usaha ini juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah-sekolah terpilih," menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan juga menegaskan pengenalan tulisan khat tidak akan membebankan guru dan murid kerana ia tidak akan diuji dalam peperiksaan serta tiada pentaksiran.

Kementerian turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan keprihatinan terhadap isu berkenaan sekali gus menunjukkan agenda pendidikan sentiasa mendapat perhatian semua. - Bernama'

[ARTIKEL BERKAITAN: Khat untuk nilai warisan dan identiti negara]

[ARTIKEL BERKAITAN:Saranan perkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat akan dipertimbang]

[ARTIKEL BERKAITAN: Baca ni baru komen: FAQ isu tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Masih banyak isu pendidikan perlu diberi fokus besar']