Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum formal dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Walaupun mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan elemen jasmani yang tidak disentuh oleh mata pelajaran lain dalam hal yang berkaitan dengan elemen penting dalam pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Menurut Bucher (1979), Pendidikan Jasmani merupakan satu-satunya mata pelajaran yang dapat menghasilkan pendidikan yang menyeluruh meliputi domain psikomotor, kognitif, sosial dan emosi.

Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Sehubungan dengan itu, kurikulum Pendidikan Jasmani telah dibahagikan kepada tiga tunjang iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan.

Tiga tunjang

Tiga tunjang ini menyumbang kepada pencapaian matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani dalam membangunkan kemahiran motor yang sesuai dari kemahiran asas sehingga kemahiran sukan khusus dan akhirnya menitik beratkan sukan seumur hidup ke arah membantu mencapai pembangunan individu yang optimum (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999).

Bucher dan Wuest (1987) menyatakan matlamat Pendidikan Jasmani adalah supaya murid memahami apa yang hendak dilakukan di samping membantu menghasilkan keputusan yang lebih bermakna ketika menghadapi masalah.

Menurut Teng (2001), pelajaran Pendidikan Jasmani bertujuan membina kecergasan murid-murid dengan mengambil kira kemampuan fizikal murid-murid dan memberi keseronokan kepada mereka.

Kecergasan dibahagikan kepada dua jenis iaitu kecergasan jasmani yang berkait dengan kesihatan dan kecergasan jasmani yang berkait dengan perlakuan motor atau kemahiran.

Kecergasan jasmani yang berkait dengan perlakuan motor terdiri dari komponen-komponen yang mempunyai kesan dalam proses penghasilan perlakuan yang bermutu.

Ketangkasan merupakan salah satu komponen dalam kecergasan jasmani yang berkait dengan perlakuan motor. Ketangkasan adalah kebolehan melakukan pergerakan-pergerakan berturutan ke arah yang berbeza dengan mudah, pantas dan cekap.

Definisi ketangkasan

Terdapat pelbagai definisi ketangkasan yang telah diberikan oleh penyelidik yang telah melakukan kajian tentang kajian ketangkasan antaranya ialah Thomas dan Nelson (1990) yang menegaskan bahawa ketangkasan melibatkan ketepatan dan kelajuan mengubah arah badan ketika bergerak.

Manakala Clarke (1976) pula mendefinisikan ketangkasan sebagai keupayaan atau kebolehan bergerak dan menukar arah dengan tepat tanpa kehilangan imbangan dan kelajuan.

Ketangkasan merupakan kebolehan seseorang mengubah arah atau kedudukan badannya untuk meneruskan pergerakan lain yang selanjutnya, (Churcher, 1980). Manakala Johnson dan Nelson (1986) menyatakan bahawa ketangkasan sebagai kebolehan fizikal seseorang yang dapat mengubah kedudukan badan dan arah secara cepat dan tepat.

Pengajaran boleh difahami sebagai proses penyampaian ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai. Ini seterusnya akan membawa kepada perubahan tingkah laku seseorang pelajar.

Dalam pengajaran yang berkesan, seorang guru hendaklah merancang topik, objektif, isi dan cara penyampaian dan penilaian yang sesuai dengan kebolehan sedia ada dan minat pelajar. Ini bermakna penggunaan satu pendekatan sistematik dalam pengajaran hendaklah ditekankan.

Pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu. Dalam konteks bilik darjah, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana objektif jangka panjang dapat dicapai dalam sesuatu mata pelajaran. Oleh itu, pendekatan biasanya merujuk kepada beberapa teori yang berkaitan dengan sifat-sifat semula jadi pelajar.

Kemudiannya, ia akan menjadi pegangan dalam sesuatu pengajaran, (Meng, 2002).

Selain itu, Strand dan Reeder (1996) menyarankan jurulatih dan guru hendaklah melatih murid menggunakan pelbagai bentuk pendekatan yang dapat meningkatkan, kemahiran, pengetahuan, kecergasan, taktik, minat dan sikap murid.

Teaching Games for Understanding (TGfU)

Konsep dasar Teaching Games for Understanding (TGfU) memiliki enam proses iaitu bentuk permainan, yang kedua ialah apresiasi permainan, kesedaran taktikal, membuat keputusan, diikuti dengan pelaksanaan kemahiran dan prestasi. Proses ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kecergasan, minat dan keseronokan murid ketika menjalani pembelajaran.

Menurut Werner et al. (1996), latihan bentuk model TGfU boleh memberi peluang bermain kepada semua lapisan murid.

Pendekatan TGfU telah diperkenalkan oleh Rod Thorpe dan David Bunker di Loughborough University pada tahun 1970an dan awal 1980an. Pendekatan TGfU merupakan satu kitaran pendekatan di mana menggantikan pembelajaran kemahiran ke dalam konteks permainan yang membolehkan murid melihat kaitan antara kemahiran dalam situasi permainan, (Bunker ,1982).

Pendekatan ini adalah berbeza dengan pendekatan tradisional yang berfokus pada perkembangan teknik sebelum menggunakan teknik kepada permainan yang sebenar, (Statt, 2001).

Oleh itu, dengan menggunakan pendekatan TGfU, murid dapat membina kesedaran taktikal dan kemahiran membuat keputusan melalui modifikasi situasi permainan. Pencapaian dalam permainan melibatkan teknik secara sedar atau tidak sedar, persepsi isyarat dan

perkembangan kemahiran, (Kirk, 2002).

Pendidikan yang menyeluruh

Pendidikan Jasmani merupakan satu-satunya mata pelajaran yang dapat menghasilkan pendidikan yang menyeluruh meliputi domain psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi, (Bucher, 1999). Pendidikan dalam kelas Pendidikan Jasmani memberi peluang kepada pelajar untuk mencuba dan mengalami proses pembelajaran melalui penglibatan mereka dalam aktiviti fizikal.

Program TGfU telah diasaskan oleh Bunker dan Thorpe (1982). TGfU ialah permainan berdasarkan model pedagogi yang bertujuan untuk menghasilkan pemahaman yang lebih besar dan mendalam dari semua aspek permainan.

Menurut kajian yang dijalankan, TGfU dapat meningkatkan aktiviti fizikal, tahap pemikiran, penglibatan, motivasi dan kenikmatan dalam mempelajari subjek pendidikan jasmani (Webb et. al, 2007).

Menerusi model ini, proses pembelajaran bagi subjek Pendidikan Jasmani dianggap sebagai platform atau tempat untuk persaingan secara sihat, motivasi dan bersuka ria. Model TGfU juga menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri dalam pelbagai permainan.

Webb and pearson (2008), menjelaskan bahawa TGfU adalah pendekatan pedagogi yang holistik kerana melibatkan pelajar perlu memahami taktik dan strategi permainan, membuat keputusan dan penyelesaian masalah dalam situasi bermain.

TGfU merupakan pendekatan alternatif pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan aktiviti penakulan (Hopper, zbor). Justeru itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan aktiviti penakulan perlu diterapkan dalam mata pelajaran pendidikan Jasmani bagi memastikan standard kandungan dan standard pembelajaran yang menekankan kepada penguasaan 4M tercapai dalam transformasi kurikulum.

Target games adalah salah satu klasifikasi dari bentuk permainan dalam pendekatan TGfU yang memfokuskan pada aktiviti permainan yang memerlukan kecermatan, akurasi yang tinggi dalam memperoleh nilai.

Mitchell, Oslin dan Griffin (2003: 21) menjelaskan “in target games, players score by throwing or striking a ball to a target”. Target games merupakan permainan yang menuntut konsentrasi, ketenangan, fokus, dan akurasi yang tinggi dalam permainannya.

Permainan ini sebenarnya menjadi dasar bagi permainan-permainan yang lain, kerana hampir setiap permainan memiliki target atau goal yang dijadikan sasarannya. Misalnya, permainan bola jaring, bola sepak dan sebagainya memiliki sasaran yang bermacam-macam. Bentuk-bentuk target games yang biasa dilakukan, misalnya memanah, golf, boling, billiard, snooker dengan berbagai modifikasinya.

*****

- Engku Nazaruddin Engku Mohd Nawi merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2). Sepanjang menjadi pendidik, pelbagai anugerah telah diterima iaitu Anugerah Khidmat Cemerlang (2009 & 2017); Ikon Guru 2016; Jurulatih Sukan Cemerlang 2016; Sekolah Cemerlang Sukan 2016; Penyelaras Sukan Cemerlang 2016 dan Johan Pertandingan Inovasi 2017.

- Dalam kokurikulum pula, Cikgu Engku Nazaruddin aktif memegang bermacam-macam jawatan iaitu Pengerusi Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Putrajaya 2019-2021; Penyelaras Liga KPM Putrajaya 2018-2020; Ketua Jurulatih NFDP Putrajaya 2018-2021; Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Putrajaya MSS Putrajaya 2018-2019; Ketua Jurulatih Merentas Desa MSSM 2018-2019 dan Exco Persatuan Bola Sepak Putrajaya.

- Beliau juga pernah dilantik sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan Kesihatan KSSM; Pusat Latihan Jurulatih (Pusat Kokurikulum Putrajaya); Ketua Jurulatih Pasukan Sekolah Olahraga 2016-2019; Ketua Jurulatih Pasukan Sekolah Merentas Desa 2016-2019 (Johan) dan Ketua Jurulatih Pasukan Sekolah Bola Baling 2016-2019 (Johan)

Artikel menarik

Cikgu Mohamad Hakim kongsi kata kunci empat operasi asas yang ramai tidak tahu. Ini rahsianya!

Ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pentadbir, mohon jadikan panduan