Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan tentang pengurusan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di prasekolah, sekolah rendah dan menengah termasuklah Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam di bawah KPM serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM.

Sebelum sesi persekolahan bermula

Pengisytiharan kesihatan

1.Ibu bapa/penjaga perlu membuat pengisytiharan kesihatan MBK melalui borang seperti di lampiran. Maklumat yang dikemukakan dalam borang tersebut merupakan indikator bagi menentukan tahap kesihatan MBK dan keupayaan penjagaan kesihatan kendiri oleh MBK.

2.Pengisytiharan kesihatan MBK perlu dikemukakan kepada pihak sekolah sekurang-kurangnya tiga (3) hari sebelum sesi persekolahan bermula.

3.Berdasarkan pengisytiharan kesihatan berkenaan, pentadbir sekolah perlu memutuskan sama ada MBK boleh hadir ke sekolah atau  sebaliknya.

Bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP)

4.Bilangan MBK bagi setiap bilik PdP bergantung kepada keluasan ruang dengan mengambil kira penjarakan sosial. Kapasiti maksimum sesebuah bilik PdP tidak melebihi tujuh (7) orang.

5.Pihak sekolah boleh melaksanakan kaedah penggiliran kehadiran MBK sekiranya bilik PdP tidak dapat menampung kehadiran semua MBK selepas mengambil kira penjarakan sosial.

6.Perabot dan peralatan termasuk peralatan khas yang tidak digunakan perlu disimpan atau diketepikan untuk mengurangkan sentuhan.

Persediaan sebelum MBK ke Sekolah

7.Pihak sekolah perlu mengatur: Jadual bekerja Pembantu Pengurusan Murid (PPM) bagi memastikan semua PPM datang lebih awal untuk mengurus ketibaan MBK; dan waktu ketibaan MBK secara berperingkat.

8.Pihak sekolah perlu menyediakan: Laluan khas untuk mengimbas suhu badan MBK; dan Drop off point bagi MBK yang dihantar dengan menaiki kenderaan ke dalam kawasan sekolah.

9.Pihak sekolah perlu mengingatkan MBK supaya sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum ke sekolah. Sekiranya tiada air dan sabun, pensanitasi tangan boleh digunakan.

Semasa Sesi Persekolahan

Waktu tiba

10.MBK yang tiba di sekolah akan disambut dan dibawa ke kelas oleh PPM.

11.Ibu bapa/penjaga dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah dengan menaiki kenderaan sekiranya MBK tidak berupaya berjalan kaki.

12.MBK prasekolah boleh dihantar hingga ke kelas dengan ditemani oleh ibu bapa/penjaga. Walau bagaimanapun, ibu-bapa/penjaga perlu mematuhi tatacara pelawat masuk ke premis prasekolah/tabika/tadika semasa menghantar dan mengambil anak/anak jagaan.

13.MBK kurang upaya penglihatan terutamanya kategori B1 perlu menggunakan tongkat putih semasa tiba dan sepanjang waktu berada di sekolah. Ini bertujuan mengelakkan sentuhan yang kerap pada susur tangan.

14. Pihak sekolah perlu mengimbas dan merekod suhu badan MBK di lokasi yang ditetapkan. Jika suhu badan MBK mencecah 37.5⁰C dan ke atas, ibu bapa/penjaga perlu membawa pulang anak/anak jagaan untuk mendapatkan rawatan.

Pengurusan Diri

15. MBK hendaklah sentiasa diingatkan untuk mencuci tangan dengan air dan sabun setiap kali menggunakan tandas.

16.Guru/PPM yang membantu MBK mengurus diri hendaklah memakai pelitup muka serta mencuci tangan dengan air dan sabun dengan lebih kerap.

Pengurusan Tingkah Laku

17.Pihak sekolah hendaklah mengasingkan MBK yang mempunyai masalah tingkah laku semasa waktu persekolahan dan diberikan modifikasi tingkah laku serta intervensi yang bersesuaian. Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal, pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa/penjaga untuk membawa MBK pulang ke rumah.

18.Guru dan PPM yang mengendalikan MBK yang bermasalah tingkah laku mesti memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun. Sekiranya tiada air dan sabun, pensanitasi tangan boleh digunakan.

Pelaksanaan PdP

19.Pihak sekolah perlu mengekalkan guru dan PPM yang sama untuk satu-satu kelas bagi mengelakkan MBK terdedah kepada lebih ramai orang.

20.Guru dan PPM yang terlibat secara langsung dengan MBK kurang upaya penglihatan kategori B1 (kontak rapat) semasa sesi PdP perlu sentiasa memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan air dan sabun lebih kerap. Sekiranya tiada air dan sabun, pensanitasi tangan boleh digunakan.

21.Guru perlu sentiasa mengingatkan MBK kurang upaya penglihatan yang perlu memegang bahan bantu belajar (guna sama) seperti grafik taktil dan peralatan khas untuk mencuci tangan dengan air dan sabun lebih kerap. Sekiranya tiada air dan sabun, pensanitasi tangan boleh digunakan.

22.Rancangan Pendidikan Individu (RPI) perlu dikongsikan oleh guru kepada ibu bapa/penjaga bagi memastikan pembelajaran dan intervensi dapat dilaksanakan di rumah.

23. Pihak sekolah hendaklah menangguhkan sebarang aktiviti luar dan aktiviti terapeutik seperti berenang dan berkuda sehingga pemakluman baharu dikeluarkan oleh KPM.

Waktu Pulang

24.Pihak sekolah perlu mengatur waktu MBK pulang dari sekolah bagi mengurangkan masa menunggu ibu bapa/penjaga dan mengelakkan kesesakan; dan

25.Guru dan PPM mengiringi MBK ke lokasi yang ditetapkan semasa waktu pulang. MBK yang dijemput oleh ibu bapa/penjaga dengan kenderaan di dalam kawasan sekolah akan dihantar oleh PPM.

Perkhidmatan Sokongan Pendidikan Khas

26. Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa memberikan perkhidmatan terapi dan intervensi kepada MBK.

27. MBK yang memerlukan terapi dan intervensi boleh membuat temu janji dan mematuhi panduan keselamatan yang telah ditetapkan.

Pengurusan PdP di Rumah

28.MBK yang tidak boleh hadir ke sekolah kerana pengisytiharan kesihatan atau penggiliran akan mengikuti PdP di rumah.

29.Pelaksanaan PdP bagi MBK yang berada di rumah bergantung kepada keupayaan MBK dengan sokongan ibu bapa/penjaga;.

30.Bagi MBK kurang upaya penglihatan yang tidak dapat hadir kerana pengisytiharan kesihatan, pihak sekolah boleh meminjamkan peralatan sokongan pembelajaran. Misalnya mesin braille, slate & stylus, set cubarithm, kalkulator bersuara, kalkulator saintifik atau kertas kraf. Peralatan sokongan pembelajaran ini perlu diambil oleh ibu bapa/penjaga dengan kebenaran bertulis pentadbir sekolah.

31.MBK kurang upaya penglihatan yang tidak dapat hadir kerana penggiliran akan dibekalkan dengan bahan sokongan pembelajaran yang mencukupi seperti lembaran kerja dalam bentuk teks braille atau grafik taktil. Bahan sokongan pembelajaran tersebut diberi kepada murid semasa murid hadir ke sekolah; dan

32.MBK yang memerlukan sokongan maksimum boleh dibekalkan dengan pek aktiviti. Pek ini mengandungi aktiviti rangsangan untuk meningkatkan perkembangan domain.