KUALA LUMPUR - Pembatalkan peperiksaan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan akademik murid, kata bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata tanpa peperiksaan tersebut, penguasaan terhadap pembelajaran murid masih boleh dinilai menerusi pelbagai cara termasuk dengan mengambil kira prestasi pelajar sepanjang tahun yang melibatkan kuiz, peperiksaan akhir tahun dan projek-projek khas.

Katanya, memandangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih boleh dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyertaan dalam aktiviti kelas (sebelum dan semasa PKP) termasuk menerusi dalam talian boleh dipertimbangkan.

"Saya pasti pihak Kementerian akan mencorak mekanisme yang sesuai untuk menilai murid-murid selain peperiksaan yang telah dibatalkan. Buat masa sekarang, kesihatan dan keselamatan anak-anak jauh lebih penting daripada keputusan peperiksaan semata-mata.

"’Keadaan luar biasa memerlukan tindakan luar biasa dan pastinya keputusan kementerian ini tidak dibuat sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira keutamaan dan kepentingan pelajar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kamalanathan berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam yang membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3 tahun ini bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kira-kira lima juta pelajar di negara ini berikutan penularan COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata peperiksaan bukan satu-satunya elemen bagi menentukan proses pendidikan di sekolah berjalan dengan berkesan serta menentukan kemenjadian pelajar.

Aminuddin menjelaskan ketiadaan peperiksaan bukan bermakna murid-murid tidak akan dinilai oleh guru dan seperti kebiasaan bagi murid tahun enam bagi sesi sebelum ini juga tidak hanya dinilai berdasarkan UPSR sahaja, begitu juga dengan PT3.

Malah bagi yang menduduki UPSR akan menerima empat elemen pelaporan iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik dan UPSR.

Guru juga akan terus komited melaksanakan tanggungjawab mereka memberikan pendidikan kepada anak-anak pelajar tahun enam dan tingkatan tiga sepanjang tempoh PKP menerusi pembelajaran secara dalam talian.

"Bagi yang tidak mempunyai peranti atau akses internet tentunya ada pendekatan lain yang dibuat oleh guru-guru antaranya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram. Jika murid tiada aplikasi tersebut guru akan berhubung terus dengan murid melalui telefon.

"Buku teks sekolah juga adalah bahan rujukan yang penting kepada semua murid sebagai panduan ketika belajar di rumah dalam tempoh PKP ini,” jelasnya.  

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata dengan menduduki peperiksaan UPSR dan PT3 atau tidak, pada asasnya semua pelajar akan maju ke tingkatan satu dan empat tidak kira walau apa keputusan mereka.

"Cuma bagi kemasukan ke sekolah-sekolah berasrama mungkin kementerian punyai mekanisme tertentu untuk menilai pelajar yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya.

Sementara itu, Profesor TVET Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Ramlee Mustapha mencadangkan agar keputusan pembatalan tersebut dipertimbang semula kerana UPSR dan PT3 melibatkan piawaian psikometrik dan pensijilan.

Katanya peperiksaan nasional di peringkat rendah tersebut boleh ditunda seperti peperiksaan awam lain tetapi bukan dibatalkan.

"Mungkin boleh ditunda seperti SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan lain-lain, bukan terus dimansuhkan. Bayangkan Kohort 2020 tidak memiliki sijil UPSR dan PT3 jika dibandingkan dengan Kohort pada tahun-tahun yang lain . Ini memberi ‘kekurangan’ kepada mereka di kemudian hari kerana mereka sepatutnya mempunyai sijil pendidikan yang serupa,” katanya. - Bernama

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba