Putrajaya - Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan agar semua program kementerian yang melibatkan perhimpunan ramai seperti program sukan dan aktiviti kokurikulum bagi bulan Mac 2020 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Keputusan itu dibuat berikutan kenyataan Media dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggesa agar semua perhimpunan melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan berlakunya jangkitan COVID-19," katanya melalui kenyataan media yang dihantar kepada GPS Bestari pada jam 7.25 pagi ini.

Sehubungan itu, warga KPM diingatkan agar mematuhi sepenuhnya prosedur pengoperasian standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan Coronavirus 2019 yang dikeluarkan oleh KKM.

Menurutnya, warga KPM juga dinasihatkan agar menangguh perjalanan ke luar negara terutamanya ke wilayah atau bandar yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19 sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh KKM.

"Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan," katanya.

Perkembangan terkini jangkitan COVID-19 boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM.

KPM mengambil cakna berhubung penularan COVID-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala ini.

Artikel berkaitan:

COVID-19: JKNJ nafi arah tutup sebuah sekolah di Johor

50 murid pendidikan khas di SK Petra Jaya dikuarantin