KUALA LUMPUR - Penularan influenza sejak minggu lepas menyaksikan ramai pelajar dilaporkan dijangkiti virus tersebut dan terbaru Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) di Perak ditutup semalam.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata penutupan sekolah itu berikutan 10 pelajar asramanya dijangkiti Influenza A sejak Sabtu lepas, sekali gus menjejaskan sesi pembelajaran 570 pelajar lain di sekolah itu.

Katanya, keseluruhan pelajar yang dijangkiti influenza termasuk Influenza A di Perak bagi tempoh 9 Januari hingga 12 Januari adalah seramai 28 orang melibatkan empat daerah.

"Seramai 11 orang dari daerah Bagan Datuk termasuk 10 di Semesti; Kinta (lapan); Larut Matang dan Selama (lima) serta Manjung (empat) dan semua pelajar yang dijangkiti itu kini dikuarantin di rumah masing-masing sehingga mereka kembali sihat dan atas nasihat doktor,” katanya kepada Bernama.

Influenza merupakan jangkitan virus dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Di JOHOR BAHRU, kes seorang murid perempuan tahun satu yang tular di media sosial dikatakan kritikal dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, akibat penyakit influenza, disahkan dijangkiti penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hassan berkata bagaimanapun, terdapat komplikasi lain yang menyebabkan kanak-kanak itu perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA dan dipantau rapi oleh pakar perubatan.

"Itu memang disahkan influenza tetapi dia ada melibatkan pelbagai masalah lain pada pesakit berkenaan, bukan influenza itu sahaja,” katanya kepada pemberita di Jabatan Kesihatan Negeri Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Aminolhuda berkata keadaan influenza di negeri ini sangat terkawal yang masih boleh ditangani pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor malah bekalan ubatan khususnya antiviral influenza juga mencukupi.

Beliau berkata 89 murid prasekolah sehingga Tingkatan Empat yang dilaporkan disyaki dijangkiti influenza pula hanya dirawat sebagai pesakit luar dan diminta berehat di rumah masing-masing.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata ​​​​​​seramai 10 murid dari 10 sekolah rendah negeri ini disahkan dijangkiti influenza sejak 7 Jan lepas namun tiada sekolah atau kelas yang ditutup kecuali murid terlibat diarah kuarantin.

Beliau berkata daerah Kuantan mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan lima kes diikuti Cameron Highlands dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Jerantut, Bentong dan Raub.

Katanya, lima murid yang disahkan dijangkiti itu juga telah dibenarkan pulang dari hospital dengan tiga masih dirawat di hospital manakala dua lagi dikurantin di rumah.  

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah pula berkata ketika ini masih terdapat 180 dos vaksin influenza A di tiga hospital iaitu di hospital daerah Kuantan, Bentong dan Temerloh.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata seramai 103 murid di 52 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini dijangkiti influenza sehingga semalam.

"Walaupun jumlah yang dijangkiti influenza menunjukkan peningkatan (19 murid dilaporkan dijangkiti pada 8 Jan), namun tiada sekolah ditutup tetapi hanya dua kelas Tahun 2 di sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth sahaja yang masih ditutup sejak Rabu lepas.

"Daripada jumlah itu, tujuh murid sekolah rendah dah seorang pelajar sekolah menengah sedang dirawat di hospital manakala yang lain dikuarantin di rumah masing-masing," katanya sambil menambah kesemua mereka dari 40 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah itu dilaporkan stabil.

Sementara itu, di SELANGOR, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Dr Mahanom Mat Sam berkata sebanyak 231 kes Influenza A dan H1N1 melibatkan 97 sekolah di lapan daerah direkodkan di negeri berkenaan.

Katanya daerah Klang merekodkan bilangan kes tertinggi bagi kedua-dua jenis influenza berkenaan dengan 97 kes melibatkan 35 sekolah diikuti Petaling Perdana (53 kes daripada 27 sekolah), dan Petaling Utama (23 kes daripada 10 sekolah).

Daerah Sepang pula mencatatkan 30 kes daripada tujuh sekolah, Kuala Selangor (tujuh kes daripada enam sekolah), Gombak (lapan kes daripada enam sekolah), Kuala Langat (tujuh kes daripada tiga sekolah) dan Hulu Selangor (enam kes daripada dua sekolah).

Bagaimanapun, jelasnya setakat ini tiada kelas atau sekolah ditutup di seluruh Selangor.

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Agama dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata penularan virus influenza di negeri itu masih terkawal dengan kurang 20 kes sejak awal Januari.

"Kita nampak semakin bertambah (kes influenza) dan dah kenal pasti beberapa daerah yang ada kes iaitu Kubang Pasu, Kuala Muda dan di Alor Setar,” katanya.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata walaupun tidak ada kes yang dilaporkan di negeri berkenaan, namun langkah berjaga-jaga dilaksanakan sebagai pencegahan.

Di MELAKA, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong berkata kes jangkitan Influenza di negeri ini masih terkawal namun beliau tidak menyatakan jumlah kes yang terlibat.

Di TERENGGANU, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata dua kluster penyakit seperti influenza (ILI) direkodkan melibatkan sembilan pesakit berusia lingkungan tiga hingga 38 tahun dari dua keluarga di daerah Setiu bagi tempoh 5 hingga 7 Januari.

"Daripada jumlah itu, lima kes positif influenza A, tiga kes positif influenza B manakala seorang lagi tidak dikenal pasti kerana tidak membuat ujian dan kesemua kes telah disahkan oleh fasiliti swasta serta diberi rawatan tamiflu. Keadaan semua kes adalah stabil,” katanya.

Di PERLIS, NEGERI SEMBILAN, SABAH dan SARAWAK tiada sebarang kes direkodkan setakat ini namun Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing tetap memantau perkembangan semasa. - Bernama

Artikel lain:

Kronologi kes jangkitan influenza di sekolah, terkini 164 pelajar dan seorang guru dijangkiti

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020